Kenyataan Zahid ada kebenarannya – Timbalan Presiden Pas



KOTA KINABALU- Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersetuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengenai kesukaran untuk mengawal mana-mana Ahli Parlimen dari menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, yang juga merupakan Menteri Alam Sekitar dan Air,  Ahmad Zahid tidak mungkin mempunyai kemampuan untuk menyekat mana-mana Ahli Parlimen UMNO kerana ia merupakan tindakan individu.

“Bagi saya kenyataan Ahmad Zahid tidak boleh sekat (adalah benar), kalau ada Ahli Parlimen nak sokong Anwar. Memang itupun hakikatnya kerana kalau sekat pun, seseorang Ahli Parlimen boleh isytihar jadi bebas dan sokong siapa dia nak sokong,” tulis Tuan Ibrahim dalam catatan Facebooknya hari ini.

Timbalan Presiden Pas itu turut menggesa semua pihak agar tidak mempolemikan kenyataan Presiden UMNO dan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang dilihat bertentangan.


Takiyuddin sebelum ini meminta penjelasan kepada UMNO mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa UMNO walaupun menyokong kerajaan hari ini tidak dapat menghalang ahli Parlimennya dari bertindak secara sendirian menyokong Anwar.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kenyataan Takiyuddin yang berkata Pas akan memohon penjelasan daripada UMNO bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana sebagai rakan Muafakat Nasional (MN), PAS perlu dapat penjelasan langsung daripada UMNO.

Tuan Ibrahim turut melahirkan kebimbangan mengenai ada usaha untuk memecahbelahkan MN supaya dapat meraih keuntungan politik.

“Masa terbaik untuk mendapatkan penjelasan, tentunya dalam mesyuarat bersama. Masalah bila tukang syarah lebih lajak dari laju. Oleh kerana ramai nak tengok MN pecah, kerana ‘bila kapal pecah, yu yang kekenyangan.”


“Kita harap kenyataan Anwar dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini ibarat biduk yang lalu, nanti kiambang akan bertaut kembali.

“Semoga kejayaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN Sabah akan memantapkan semua permuafakatan politik dalam mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN),”ujar Tuan Ibrahim.

Dalam catatan yang sama Tuan Ibrahim mempersoalkan kredebiliti dakwaaan Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai angka mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.

“Kedua- dua kenyataan daripada Presiden UMNO,Datuk Seri Ahmad Zahid dan Setiausaha Agung PAS (Takiyuddin) itu tak perlu dipolemik pun, hanya kerana kenyataan Anwar yang menegaskan beliau sudah cukup bilang bagi ambil alih teraju negara.

“Hakikatnya adakah benar seperti yang didakwa Anwar? Faktanya sehingga kini masih tiada.” – SuaraTV 


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram