Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sekiranya gabungan PN-BN-PBS menang
dalam pilihan raya Sabah kali ini, pilihan raya umum (PRU) akan diadakan dalam
masa terdekat.
Ini adalah pertama kali Muhyiddin menunjukkan kecenderungan melaksanakan PRU
segera kerana sebelum ini beliau sekadar mengisyaratkan bahawa PN dan
sekutunya harus bekerja keras seolah-olah "PRU akan diadakan esok".
"Sekiranya kita menang di Sabah, kita akan bergegas dan mengadakan PRU. Saya
tahu apa yang akan ditulis oleh media tetapi biarkan mereka membuat spekulasi.
"Tetapi PRN Sabah adalah yang paling penting.
"Isyarat mesti diberikan oleh orang Sabah bahawa 'kami menyokong PN, kami mahu
Muhyiddin terus menjadi perdana menteri. Kami mahu Malaysia terus maju dan
berjaya' dan satu-satunya cara untuk berjaya adalah bersama saya,” kata
Muhyiddin dalam ceramah di Pintasan, Kota Belud, Sabah hari ini.
Beliau berucap kepada lebih 250 hadirin, yang kebanyakannya memakai kemeja
biru tua atau jaket tertera 'Perikatan Nasional'.
Sebilangan hadirin juga melimpah ke jalanan dan warung makan di sebelah tapak
program.
Muhyiddin juga menyentuh tentang usaha kerajaan menangani wabak Covid-19,
menjelaskan keputusan untuk penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan dan
prosedur operasi standard.
Muhyiddin memetik Bank Dunia, yang mengatakan Malaysia mengalami kemajuan
lebih baik daripada kebanyakan negara lain dalam kemerosotan ekonomi yang
disebabkan oleh wabak tersebut.
"Saya telah bertanya kepada menteri kewangan saya, dapatkah kita menambahkan
lebih banyak (bantuan kewangan)? ... Dia mengatakan dia akan berusaha
mencari," kata Muhyiddin.
Putrajaya sebelumnya telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah
RM250 bilion di tengah pandemik Covid-19, dengan suntikan langsung sebanyak
RM45 bilion.
Muhyiddin juga memberitahu hadirin bahawa lebih baik kerajaan negeri berpihak
kepada kerajaan persekutuan.
Katanya, ia akan memudahkan perkara seperti membawa lebih banyak pelaburan ke
Sabah.
Join our Telegram Channel