SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikecam oleh warganet kerana
melancarkan portal berbahasa Mandarin.
Pengumuman SPRM di Facebooknya mengenai pelancaran portal itu dipenuhi dengan
komen yang mempersoalkan keperluan suruhanjaya itu mempunyai portal selain
daripada bahasa kebangsaan.
“Tidak perlu dan tiada keperluan untuk buat portal bahasa lain selain daripada
bahasa rasmi negara kita . Seharusnya rakyat mendalami bahasa ibunda dengan
sepenuhnya bukan minta pembaharuan dalam penyampaian maklumat dalam
bahasa-bahasa tertentu. Bahasa Melayu bahasa rasmi negara ini. Sepatutnya
rakyat berusaha untuk memahami bahasa rasmi negara sebab tinggal di Malaysia,”
tegas Fazrin Aswar Roslee.
“Harap ada menteri yang pertikaikan benda ni, SPRM lari dari landasan. Tiada
keperluan pun nak buat portal tu,bahasa rasmi bahasa kebangsaan harus
dibelajari dan difahami. Kalau SPRM buat macm ni akan ada kaum-kaum lain juga
tuntut. Harap faham la ya,” komen Hairul Izz.
“Kenapa perlu? Bahasa kebangsaan sudah cukup sebab SPRM agensi kerajaan. Sama
ada mereka faham atau tidak itu bukan masalah SPRM. Tapi masalah mereka yang
sudah duduk puluhan tahun tapi masih tak faham bahasa Malaysia,” kata Der
Btader.
“SPRM, sebagai sebuah agensi kerajaan sepatutnya anda menyahut seruan
memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia. Di mana
bertujuan untuk membantu menyemai rasa kekitaan di kalangan rakyat tanpa
mengira kaum. Rasionalnya ialah untuk tujuan perpaduan, penggunaan integriti
dan bersatu hati. Sila dengari suara majorit rakyat Malaysia,” komen Muhammad
Syazwan Ruslan.
“Tindakan yang kurang bijak dari sudut mendaulatkan bahasa kebangsaan
sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara,” tegas Buana
Mahawangsa.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, portal berbahasa Mandarin tersebut bagi
memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat tentang pencegahan
rasuah dan perkara-perkara berkaitan suruhanjaya ini.
SPRM berharap dengan kemudahan terbaharu itu, ia dapat meningkatkan lagi
keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina terhadap SPRM dan agenda antirasuah
di samping menyebar luas mesej pendidikan pencegahan rasuah.
Portal tersebut dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM,
YBhg. Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari
ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Najib tersenarai dalam pangkalan data pesalah rasuah di laman SPRM
Join our Telegram Channel