
PASIR PUTEH – Empat remaja yang dipercayai terlibat dalam kes buli seorang
wanita warga emas di Banggol Pauh, Bekelam dekat Bachok Rabu lalu direman
selama tiga hari untuk membantu siasatan.
Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga Selasa depan terhadap
keempat-empat suspek berusia 15 hingga 18 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret
Tuan Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor.
Kesemua remaja itu ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324
kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan
kerana melakukan ugutan jenayah.
Terdahulu, mereka tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Pasir Puteh di sini
hari ini pada pukul 9.50 pagi dengan menaiki van polis.
Mereka kelihatan sugul selepas mahkamah menetapkan tahanan reman terhadap
mereka.
Kelmarin, tular video berdurasi 30 saat di laman sosial yang memaparkan
sekumpulan remaja lelaki tergamak mengganggu dan membuli seorang wanita warga
emas, Wan Bidah Wan Deraman, 67, sehingga dia terpaksa melarikan diri.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, dua remaja berusia 16 dan 18 tahun itu
ditahan ketika mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok
pada pukul 2.30 petang manakala dua lagi berusia 15 dan 18 pada pukul 5.30
petang semalam.
Dua remaja yang berusia 16 dan 18 tahun itu yang juga merupakan anak sepupu
mangsa tergamak membuli warga emas itu.
Wan Bidah mendakwa dia mengalami lebam dan sakit pada bahagian lengan selepas
dilastik remaja berkenaan.
Warga emas itu yang juga ibu tunggal memberitahu, kejadian berlaku kira-kira
pukul 9 malam Rabu lalu ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya seorang
diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja kurang ajar buli warga emas
Please subscribe
Join our Telegram Channel