Abang Johari cipta rekod tunggang motosikal lebih 100km

Abang Johari (tengah) menunggang motosikal jenis trike Honda Goldwing berkuasa 1,800cc pada Lawatan Kerja dan Ekspedisi bermotosikal dari Sibu ke Kapit hari ini. - Foto Bernama


KAPIT - Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mencipta rekod apabila muncul Ketua Menteri pertama menunggang motosikal lebih 100km untuk melakukan lawatan kerja dan ekspedisi bermotosikal dari Sibu ke Kapit, hari ini.

Abang Johari yang menunggang motosikal jenis Honda Goldwing 1800cc, turut disertai 80 penunggang motosikal berkuasa tinggi lain termasuk Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Ekspedisi bermula jam 8.30 pagi dari Eco-Park Sibu Jaya sebelum beliau berhenti di pekan Kanowit, Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun dan Song dan diberikan taklimat mengenai pembangunan di kawasan-kawasan berkenaan.

Dalam perjalanan mengharungi panas terik dan gerimis di beberapa tempat, Abang Johari dapat melihat secara dekat perkembangan semasa dan juga kawasan berpotensi untuk dibangunkan pada masa depan.


“Jalan penghubung Nanga Ngungun-Temalat sejauh 9km akan siap tidak lama lagi dan ini bermakna Kapit dapat dihubungkan ke kawasan lain di Sarawak.

“Lebih ramai orang akan ke Kapit pada hujung minggu dan ini adalah perkembangan terbaik untuk penduduk di sini,” katanya pada majlis pembukaan Kapit Town Square baharu, iaitu projek bernilai RM3 juta.

Abang Johari yang dapat menikmati pemandangan indah di Kapit berkata kawasan berkenaan mempunyai potensi sebagai lokasi penggambaran filem.

“Kami boleh tunjuk pemandangan indah di Kapit menerusi televisyen. Tempat ini boleh dijadikan lokasi penggambaran filem atau drama, dan kemungkinan kami boleh dapat seorang pelakon (watak utama) dari Kapit,” katanya.

Ketua Menteri itu berkata semua ini dapat dilakukan apabila Sarawak melancarkan stesen televisyen sendiri - TV Sarawak pada 10 Oktober yang akan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.


TV Sarawak yang akan disiarkan melalui saluran Astro 122 itu akan memperkenalkan kesenian dan kebudayaan masyarakat Sarawak kepada dunia di samping pembangunan yang berlaku di negeri berkenaan.

Abang Johari turut meluluskan peruntukan berjumlah RM73 juta untuk dua projek pembangunan di pekan Kapit, membabitkan RM15 juta untuk projek pasar baharu manakala RM58 juta pula adalah untuk projek Kapit Waterfront Fasa III merangkumi taman rekreasi dan pusat warisan.

“Banyak kereta akan mengunjungi Kapit. Kawasan tepi jalan tidak lagi sesuai kepada petani untuk menjual hasil tanaman mereka, jadi adalah lebih baik kami membina sebuah tempat untuk mereka berniaga,” katanya.

Abang Johari yang memberi gambaran bahawa ‘pilihan raya negeri makin hampir’ ketika Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sibu semalam, berkata banyak lagi projek pembangunan bakal dilaksanakan jika rakyat terus memberi mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menerajui Sarawak.

Beliau berkata GPS menyasarkan Sarawak sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2030. – Bernama 
Join our Telegram Channel
Telegram