
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor akan memfailkan saman
fitnah ke atas dua pemimpin pembangkang yang mendakwa beliau membeli kenderaan
itu untuk kegunaan peribadi.
Dua pemimpin pembangkang itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar
dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengakalan Kundor, Dr Ismail Salleh.
Muhammad Sanusi juga mengambil tindakan sama ke atas dua lagi individu lain
yang tidak dimaklumkan nama mereka.
Menurut Muhammad Sanusi, pembelian kenderaan terbabit dibuat Jawatankuasa
Perolehan Aset Syarikat Air Darul Aman (SADA) secara dalaman dan dilakukan
mengikut had perbelanjaan ditetapkan.
Bakan, Muhammad Sanusi difahamkan pembelian kenderaan terbabit dilakukan bagi
kegunaan bersama Ahli Lembaga Pengarah dan pegawai kanan SADA.
“Saya telah melantik beberapa peguam untuk memulakan prosiding saman fitnah
kepada beberapa pemimpin pembangkang berkaitan dengan tuduhan saya membeli
kereta Vellfire.
“Saya telah melihat beberapa tulisan dan juga (siaran) Live Facebook
pemimpin-pemimpin pembangkang yang bertaraf ikan jerung dan ikan bilis … semua
ini akan termasuk dalam senarai yang akan saya tentukan,” kata beliau dalam
sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Sebelum itu, pada sebelah pagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Kedah mengunjungi ke Ibu Pejabat SADA bagi meneliti dokumen pembelian
kenderaan terbabit dan berjumpa pengurusan syarikat utiliti berkenaan bagi
mendapatkan maklumat lanjut.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi SADA berkata, kenderaan pelbagai guna
(MPV) itu yang baru dibeli itu kini berada di Ibu Pejabat SADA.
Syarikat utiliti berkenaan turut membeli pelbagai aset seperti lori tangki dan
pam air bagi kegunaan operasi.
Penjelasan ini, tegas Menteri Besar, perlu dibuat memandangkan terdapat
tuduhan tidak berasas dilemparkan kepadanya berhubung dakwaan pemilikan
kenderaan itu.
“Saya dituduh mengambil Toyota Vellfire ini di tol pada jam 2.30 pagi
sedangkan saya tidak pernah melihat dan menaikinya sehingga kini.
"Saya hanya menggunakan dua kenderaan rasmi iaitu Volvo S90 dan Mercedez S320
yang dibeli bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini,"
jelas beliau lagi.
Join our Telegram Channel