KUALA LUMPUR – Penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew memohon maaf kepada
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana menyediakan perkhidmatan bas
percuma bagi membawa pulang mahasiswa universiti tersebut.
Katanya menerusi laman Facebook, dia dihubungi Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk
Dr. Mohammad Shatar Sabran secara peribadi dan diminta untuk membuat
permohonan maaf secara terbuka tersebut.
“Saya mohon maaf pada pihak pentadbiran UPSI terutama Naib Cancelor sendiri
yang menghubungi pihak saya tadi supaya saya membuat permohonan maaf terbuka.
“Saya minta maaf pada semua adik pelajar universiti lain juga. Saya tengok
pelajar macam anak-anak saya sendiri. Saya minta maaf saya salah. Saya cuma
membantu.
“Biasa naik bas bayar tapi kali ini percuma dan lebih tersusun dan tak perlu
nak ke bus stop dan naik train. Saya tangguhkan 20 bas sehingga di beri
kelulusan,” katanya di laman Facebook tersebut.
Tidak marah cuma perlu ikut prosedur
Pihak pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak marah
dengan tindakan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew menyediakan bas untuk
menghantar pelajar universiti itu pulang ke kampung masing-masing.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, Ebit
Lew bagaimanapun perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan
universiti terlebih dahulu dan mengikuti prosedur ditetapkan.
“Saya dan pihak pengurusan universiti tidak dimaklumkan. Kami hanya
mengetahuinya melalui media sosial. Saya menghubungi Ebit Lew menjelaskan
situasi dengan baik dan beliau memohon maaf. Bagaimanapun saya kata jangan
minta maaf kepada saya, tetapi minta maaf kepada masyarakat.
“Beliau perlu faham pelajar dibawah tanggungjawab universiti dan jika
berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan, dijangkiti penyakit
atau tidak sampai ke kampung masing-masing, pihak universiti yang akan
dipertanggungjawabkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohammad Shatar berkata, Ebit Lew perlu juga memahami bahawa pihak
pengurusan universiti perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh
Kementerian Pendidikan dan Majlis Keselamatan Negara dalam proses
penghantaran pulang pelajar.
Terdahulu, Ebit Lew dalam satu kenyataan di akaun Facebook beliau hari ini
memohon maaf kepada UPSI kerana menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi
membawa pulang mahasiswa universiti tersebut pulang.
Menurutnya, beliau dihubungi Naib Canselor UPSI secara peribadi dan
diminta untuk membuat permohonan maaf secara terbuka tersebut.
Sehubungan itu, katanya, beliau menangguhkan penggunaan bas yang disewa
untuk menghantar pulang pelajar UPSI sehingga di beri kelulusan oleh
pengurusan universiti itu.
Dalam pada itu, Mohammad Shatar berkata, kenyataan Ebit Lew yang
mengambarkan seolah-olah pelajar universiti itu terkandas dan tidak
mendapat makanan tidak benar kerana pelajar terbabit diberi makanan. –
Kosmo
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel