Seorang pereka grafik tempatan dikecam netizen selepas memuat naik satu
lukisan yang memaparkan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah
Kesihatan di dalam mangkuk tandas.
Pereka grafik bebas yang terkenal dengan nama Fahmi Reza sebelum ini sering
kali mendapat perhatian netizen selepas memuat naik lukisan yang mengutuk ahli
politik di Malaysia. Dia juga terkenal dengan lakaran badut bekas Perdana
Menteri Malaysia, Najib Razak.
Namun, lukisan terbaharunya melibatkan DG Hisham yang berada di dalam mangkuk
tandas dengan kapsyen ‘please use the toilet’ dilihat melampau dan biadap.
Lukisan yang dimuat naik awal pagi tadi telah mendapat reaksi bercampur dari
netizen dengan kebanyakan daripada mereka meluahkan rasa marah dan
mengingatkan Fahmi Reza supaya menghormati petugas barisan hadapan yang sedang
bertarung nyawa.
“Ini keterlaluan. Fahmi, politikus mungkin boleh disatira, tetapi tidak Dr.
Norhisham. Dia dan semua barisan hadapan telah berpenat lelah untuk mengawal
pandemik ini. Sewajarnya kau menghormati beliau,” tulis Shah Redza Rosli di
bahagian komen.
Manakala Radin Muhammad Hilman pula mengingatkan Fahmi Reza bahawa hak
kebebasan bersuara memang ada pada semua rakyat Malaysia, tetapi ia harus
digunakan secara bertanggungjawab dan bukannya memburukkan orang.
“Apahal jahat sangat eh? TS Noorhisham ni penjawat awam tau. Beliau dapat
jawatan itu bukan dari undi. Bukan pilihan rakyat. Tapi atas kelayakkan dan
pencapaian beliau selama berkhidmat,” tulis Nur Anis Farhana di bahagian
komen.
Sejak lukisan ini dimuat naik di laman Facebook Fahmi Reza, ia telah mendapat
lebih 2,000 tanda suka dengan separuh daripadanya memberi reaksi marah dengan
lukisan terbabit.
Difahamkan, lukisan ‘Please use the toilet’ adalah reaksi kepada ciapan
DG Hisham di laman Twitter apabila seorang rakyat Malaysia bertanya kepada
beliau mengenai ahli politik yang tidak mengikut SOP dengan mengambil
peribahasa ‘kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari’.
Ciapan itu dibalas ringkas oleh DG Hisham dengan meminta mereka untuk
menggunakan tandas. Sejak itu, sebahagian daripada netizen yang tidak memahami
kiasan mula menyerang DG Hisham.
Bagi Azwan Joroy, beliau beranggapan bahawa jawapan
‘please use the toilet’ daripada DG Hisham mempunyai maksud lain. “Bagi
saya, (apa yang) DG maksudkan adalah apa sahaja yang berlaku, sila ikut
peraturan.”
“Betul la tu DG cakap. Jangan ikut cikgu kencing berdiri tu. Kita jangan la
pulak kencing berlari. Please use the toilet. Toilet ada. Tunjukkan
kita lagi bagus dari diorang.” kata Aren Adzz di laman Twitter.
Manakala Ayep menganggap ia adalah kiasan daripada DG Hisham, “Kalau orang
politik kencing berlari/berdiri atau apa-apa sahaja lah yang menunjukkan imej
tidak baik, kita sebagai rakyat jangan ikut sekali. Lakukan dengan cara yang
betul.”
Join our Telegram Channel