SELEPAS kemenangannya ke atas Justin Gaethje pada aksi UFC 254 pada Ahad,
bintang UFC Khabib Nurmagomedov mengejutkan peminat apabila dia mengumumkan
persaraannya.
Juara lightweight UFC itu membuat keputusan untuk bersara dari sukan MMA di
saat kariernya sedang giat memuncak.
Petarung berusia 32 tahun itu mendedahkan, dia telah berjanji dengan ibunya
bahawa pertarungannya dengan Gaethje itu adalah pertarungan terakhir untuknya.
"Bila UFC memanggil saya (untuk bertarung) dengan Justin, saya telah
berbincang dengan ibu selama tiga hari.
"Saya telah berjanji dengan ibu, ini pertarungan terakhir saya. Jika saya
sudah berjanji, saya mesti tunaikan. Ini pertarungan terakhir saya," katanya
ketika ditemu bual sejurus selepas perlawanan tersebut.
Selain itu, Khabib turut memberi bayangan dia tidak mungkin dapat bertarung
tanpa ayahnya, Allahyarham Abdulamanap Nurmagomedov di sisinya.
Ini kerana, ayahnya itu turut memainkan perasan besar melatih dan menjadi guru
serta pendorong untuknya ketika di gelanggang pertarungan.
"Hari ini merupakan hari terakhir saya bertarung di UFC. Tak mungkin saya ke
sini lagi tanpa ayah saya,” kata jaguh dari Dagestan, Rusia itu sambil
menitiskan air mata.
Khabib berjaya mengekalkan kejuaraan lightweight UFC selepas menewaskan
Gaethje dari Amerika Syarikat.
Dalam acara utama UFC 254 di Abu Dhabi itu, Khabib menumpaskan Gaethje
menerusi kuncian ‘triangle choke’ pada minit 1:34 pusingan kedua.
Join our Telegram Channel