
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dikatakan mengadakan perbincangan
dengan beberapa pemimpin politik mengenai cadangan membentuk kerajaan
perpaduan.
Sumber dari pejabat Mahathir mengesahkan bahawa Mahathir telah bertemu dengan
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pada hari Isnin, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad pada hari Selasa,
dan Presiden Amanah Mohamad Sabu semalam.
"Perbincangannya adalah untuk membentuk kerajaan perpaduan," kata sumber itu
kepada Malaysiakini hari ini.
Ketiga-tiga pertemuan itu dikatakan diadakan di kediaman Mahathir di Seri
Kembangan, Selangor.
Ditanya mengenai ketidakhadiran pemimpin DAP dalam pertemuan itu, sumber itu
menjawab, "setakat ini mereka yang ada dalam gambar yang sudah datang".
Sumber itu menambah bahawa "pintu mereka masih terbuka" kepada mana-mana pihak
yang ingin berbincang mengenai perkara itu dengan Mahathir.
Mohamad Sabu ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini
enggan mengulas ketika ditanya berkenaan pertemuan itu.
"Tiada, komen, tiada komen," katanya.
Sebelum ini, laman Facebook kelab penyokong Mahathir, Kelab Che Det menyiarkan
tiga gambar yang dikaitkan dengan pertemuan berkenaan.
"Ketika Negara diuji, kerajaan perpaduan adalah formula terbaik. Parti politik
perlu diketepikan buat masa sekarang dan sebaliknya hanya kepentingan negara
sahaja yang diutamakan. Ini juga menyambut baik saranan YDP Agong supaya
berhenti berpolitik.
"Jika penubuhan kerajaan perpaduan berlaku, diharap ia bukan sahaja membela
kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia berbilang kaum, malah boleh memberi
fokus kepada usaha pemulihan ekonomi negara yang semakin mencabar kesan akibat
pandemik Covid-19, pergolakan politik dan kedudukan ekonomi global yang tidak
tentu," kata kenyataan yang mengiringi gambar berkenaan di Facebook.
Perkembangan itu hadir ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdepan
cabaran dari dalam dan luar gabungan Perikatan Nasional yang diterajuinya.
Muhyiddin juga mempunyai tugas untuk memastikan Belanjawan 2021 yang dijangka
dibentangkan pada 6 November mendapat sokongan majoriti ahli parlimen, untuk
membuktikan dia masih mendapat keyakinan daripada ahli Dewan rakyat untuk
kekal sebagai perdana menteri.


Join our Telegram Channel