
Kerajaan Melaka menutup sementara Pulau Besar daripada sebarang aktiviti dan
kunjungan orang awam bermula semalam (28 Okt) sehingga tarikh yang akan
diberitahu kelak, bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dan mencegah
wujudnya kluster baharu.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata arahan itu selari
dengan keputusan mesyuarat majlis keselamatan negeri baru-baru ini yang
melarang sama sekali sebarang perjumpaan berskala besar melebihi 50 orang
dalam satu-satu masa.
"Sebelum ini kita sudah buat pembersihan bersepadu di Pulau Besar dan dalam
tempoh kita menyambut Maulidur Rasul, kita tidak mahu ada kluster baharu
sekiranya terdapat mana-mana kehadiran pengunjung dari negeri Zon Merah.
"Buat masa ini semua aktiviti di situ akan ditangguhkan dan begitu juga dengan
pulau-pulau lain yang ada di sekitar negeri ini seperti Pulau Upeh, juga tidak
dibenar diadakan perjumpaan berskala besar," katanya kepada pemberita selepas
Pelancaran Ziarah Prihatin Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1442H di Melaka,
hari ini.
Sementara itu Sulaiman berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada
usaha membantu rakyat mendepani pelbagai isu Covid-19 dalam pembentangan
Belanjawan 2021 negeri Melaka nanti.
Join our Telegram Channel