Netizen tertanya nasib bayi ditahnik menteri agama setelah disah positif Covid-19



Sebagaimana yang diketahui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah pun disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

Beliau kini menjalani rawatan dan beliau juga turut memohon maaf terhadap apa yang berlaku.

"Tempoh masa yang dikurniakan Allah SWT pada ketika ini memberi peluang untuk saya bermuhasabah dan meneliti ruang penambahbaikan masa mendatang.


"Saya dari lubuk hati yang benar-benar ikhlas, sekali lagi memohon maaf atas apa yang berlaku," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Namun netizen tertanya-tanya apakah status kontak rapat kepada menteri agama ini kerana menurut seorang netizen yang menggunakan nama Nabeel Naqie, termasuk kontak rapat itu adalah sepasang bayi kembar.

Merujuk kepada hantaran di satu halaman facebook Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi, pada 27 September lalu, Dr Zulkifli telah mengadakan kuliah agama dan sempat mentahnik sepasang bayi yang baru sahaja lahir.


Memetik hantaran yang dibuat oleh Nabeel, tahnik adalah satu amalan menyapu bibir bayi dengan madu atau kurma lembut yang dilenyekkan menggunakan jari. Kebiasaannya kurma itu dikunyah dahulu oleh orang alim dan kemudian disapu ke dalam mulut dan lelangit bayi.

Dr Zulkifli sebelum ini telah meminta orang ramai yang menghadiri majlis yang melibatkan kehadirannya bermula 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan kadar segera. 

Bagaimanapun setakat hari ini tidak diketahui apakah status pasangan bayi kembar tersebut. – Cinca






Contoh amalan tahnik.



Join our Telegram Channel
Telegram