
Oleh: Nabeel Naqie
Dalam kemelut yang melanda negara kita sekarang, Nabeel perasan begitu ramai
yang mengatakan bahawa semua ini adalah salah orang politik. Benarkah begitu?
Amat mudah sebenarnya meletakkan beban kesalahan ke atas orang lain.
Sebenarnya salah siapa?
Penulisan Nabeel kali ini mungkin tidak akan menyenangkan ramai, tapi
kebenaran perlu dinyatakan walau pahit. Eloklah kita menyorot kembali masa dan
menilai kembali peristiwa yang berlaku.
Ketika zaman DSN, Malaysia aman dan makmur. Perpaduan negara subur di bawah
konsep 1Malaysia, dan paling penting, ekonomi negara kita amat mantap. Ekonomi
kita mencatat pertumbuhan GDP tertinggi di rantau ini malah menewaskan
pertumbuhan GDP negara-negara Harimau Asia. Kita dipuji sebagai negara
yang progresif dan berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara maju
oleh pelbagai institusi kewangan ternama dunia. Malah ekonomi kita diiktiraf
hebat oleh Bank Dunia, World Economic Forum, Standard And Poors,
Fitch Ratings dan Moody’s. Ekonomi kita diberi penarafan gred A.
Bursa Saham Kuala Lumpur mencipta rekod sebagai Bursa Saham dengan trend
paling lama menaik di dunia (longest bull run) selama 12 tahun
berturut-turut, seperti yang Nabeel telah ceritakan di artikel pertama Nabeel
di portal berita ini.
Oleh kerana rekod cemerlang tersebut, rakyat menerima pelbagai bantuan dari
kerajaan BN. BR1M, subsidi-subsidi diberi dengan begitu pemurah kepada rakyat.
Penjawat awam diberikan kenaikkan gaji berkali-kali dan tidak timbul isu
mengecilkan saiz perkhidmatan awam.
‘Report Card’ Cemerlang
DSN tampil pada penghujung tahun 2017 ketika membentangkan Belanjawan tahun
2018 dengan begitu gah sambil membentangkan ‘report card’ beliau yang
begitu cemerlang serta prestasi yang gilang gemilang untuk negara.
Kesemua ini adalah fakta. Tetapi majoriti rakyat tidak percaya. Mereka memilih
untuk bersikap tamak. Mereka mahukan perubahan. Alasan mereka cukup mudah, apa
salahnya cuba yang lain kerana BN sudah memerintah terlalu lama. Lalu PH
mengambil kesempatan di atas kerakusan dan sifat tamak rakyat ini dengan
memberikan janji bulan dan bintang. Tol percuma, lupus hutang PTPTN,
pendidikan percuma, harga minyak RM 1.50, hapus hutang peneroka FELDA, naikkan
gaji penjawat awam, mansuh GST serta pelbagai janji lain ditabur dengan begitu
murah sedangkan ia mustahil untuk dilaksanakan. Rakyat yang tamak telah pergi
mengerumuni PH dan memakan janji-janji yang ditabur PH ini umpama ayam yang
mematuk dedak.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada ketika itu malah tampil mengatakan bahawa
segala janji ini mustahil untuk dilaksanakan dan negara akan bankrap jika
diteruskan. Kenyataan ini dipandang sinis oleh rakyat. PH telah berjaya
membina persepsi bahawa segala apa yang dikatakan oleh kerajaan pada ketika
itu adalah pembohongan. Nabeel masih ingat ketika PH membuat sidang media pada
ketika itu, wartawan telah memberitahu kepada Atok: “Ketua Setiausaha
Perbendaharaan kata adalah mustahil janji-janji manifesto PH boleh dilakukan.”
Atok dengan wajah penuh sombong dan sarkastik berkata, “Apa bankrap? Kasi kami
buat. Kami tahu macam mana nak buat. Mereka (BN) tak tahu.”
Lalu rakyat pun menyangka bahawa PH memang mempunyai formula dan solusi untuk
merealisasikan segala janji mereka. Maka pergilah mereka ke peti undi dan
memangkah berasaskan janji kosong dan harapan. Jatuhlah DSN dan kerajaan BN.
Dan bermulalah malapetaka buat negara.
Kerajaan PH yang menang itu pun tidak mempunyai majoriti selesa dan hanya
sibuk berpolitik 24 jam dari mula mereka berkuasa sehingga sekarang. Ekonomi
kita musnah. Pelabur-pelabur lari. Bursa saham KL diisytihar sebagai bursa
saham paling corot di dunia. Pembangunan negara terhenti. Hubungan diplomatik
kita dengan kuasa-kuasa ekonomi dunia rosak. Kerajaan hanya tahu jual jual dan
jual segala aset yang dibina di zaman Najib. Hutang negara semakin bertambah
dan rakyat hidup sengsara. Rakyat disajikan sentiasa dengan kes 1MDB dan
segala-galanya dipersalahkan kepada Najib. Penjawat awam dibatalkan kenaikkan
gaji dan disuruh ikat perut. Malah beribu-ribu kontrak penjawat awam
ditamatkan begitu saja atas alasan hendak merasionalisasikan perkhidmatan
awam.
Rakyat Mengharapkan Perubahan
Rakyat mengharapkan perubahan dan akhirnya dapat: Menteri Kewangan seorang
akauntan gagal yang boleh salah titik perpuluhan. Menteri Pertahanan yang
merupakan tukang masak. Menteri Perpaduan seorang ekstremis Hindraf. Menteri
Agama yang antara agenda paling awal dilakukannya setelah berkuasa adalah
dengan menjemput dan mengiktiraf golongan LGBT di JAKIM. Menteri-menteri yang
menggalakkan kemasukan pelancong China ke Malaysia walhal pada ketika itu
China sendiri telah lockdown negara mereka. Barisan Menteri bodoh yang tipu
sijil…dan banyak lagi.
Segala janji pilihanraya dimungkiri tanpa segan silu dan Mahathir tanpa malu
boleh pula berkata selamba, “Kami janji macam-macam sebab tak sangka akan
menang PRU. Sekarang kami dah menang kami terperangkap dengan janji sendiri.”
Nasib negara kita telah dimusnahkan oleh rakyat kita sendiri. Harapkan guruh
di langit, air di tempayan dicurahkan. Dapat pula air kencing sebagai
gantinya. Lalu turunlah mereka protes bila genap 100 hari PH jadi kerajaan.

Dengan majoriti yang tipis, sesebuah kerajaan itu sememangnya tidak stabil
apatah lagi berlaku tikam menikam antara Mahathir, Anwar dan DAP. Kerajaan
seperti ini amat mudah jatuh dan terbukti akhirnya ia jatuh setelah PPBM
keluar dari PH.
Apa jadi selepas itu? Sekali lagi majoritinya lebih tipis dan kerajaan menjadi
lebih lemah dari sebelumnya. Tidak ada semangat setiakawan pula apabila
Muhyiddin mengenepikan UMNO dan mendahulukan agenda mengutamakan PPBM. Politik
terus menjadi keutamaan dan agenda rakyat dan negara menjadi perkara nombor
dua. Masing-masing berebut untuk berkuasa. Kini negara kita di ambang
kehancuran.
Negara-negara lain cuma ada masalah Covid-19 dan masalah ekonomi. Tetapi kita
ada masalah politik, Covid dan ekonomi. Apabila Nabeel tengok segenap
masyarakat menyalahkan ahli politik, Nabeel hanya menggelengkan kepala. Ahli
politik menjadi resah gelisah seperti itu kerana tangan-tangan celaka
sebahagian rakyat yang mengundi untuk ‘perubahan’ tanpa sebab kukuh.
Ketamakan dan mimpi untuk berubah tanpa fakta ini adalah punca masalah kepada
kesengsaraan rakyat. Libya yang makmur, musnah kerana kerakusan rakyatnya
menjatuhkan Ghadafi. Uthmaniyyah yang gagah semula semasa Abdul Hamid II,
tumbang kerana rakyat yang jahil dan senang memakan sisa bangkai fitnah.
Belajarlah dari sejarah. Kerana manusia boleh menipu, tetapi sejarah sesekali
tidak mungkin menipu. –
New Malaysia Herald
Join our Telegram Channel