Polis siasat pihak fitnah Speaker Melaka terbabit serangan seksual



AYER KEROH: Polis sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab di sebalik penyebaran mesej yang tular mendakwa seorang pemimpin politik di negeri itu melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pihaknya telah menerima dua laporan berkaitan penyebaran mesej berkenaan.


"Siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya di sini hari ini.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan berkaitan fitnah, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membabitkan kesalahan menyalahgunakan Internet atau perkhidmatan aplikasi sebagai platform bagi menyebarkan kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai dakwaan ahli politik berkenaan cuba melakukan serangan seksual terhadap seorang kakitangan hotel wanita di Ayer Keroh pada 2 Oktober lalu.


Kandungan mesej itu antara lain mendakwa ahli politik terbabit mengaku melakukan perbuatan berkenaan sebelum menawarkan penyelesaian dengan cara rundingan.

Sementara itu, dalam satu lagi gambar dikatakan salinan laporan polis yang tular, pihak pengurusan hotel dan seorang wanita menafikan kejadian berkenaan. – AstroAwani 




Join our Telegram Channel
Telegram