Ramkarpal Singh menyuarakan kritikan pedas terhadap Dr Mahathir Mohamad hari
ini berhubung cadangan agar bekas perdana menteri itu kembali mengetuai
pentadbiran negara untuk kali ketiga.
Tanpa berlapik, Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu menyalahkan
tindakan-tindakan Mahathir di masa lalu sebagai punca keadaan semasa negara,
dan menyuarakan kekesalannya kerana pernah bekerja dengannya di bawah PH.
"Saya menyesal bekerja dengan anda. Andalah sebab mengapa negara ini (dalam
keadaan seperti ini) sekarang. Andalah sebab mengapa negara ini perlukan
pembaharuan.
"Dan hari ini anda kata anda nak 'selamatkan negara? Anda adalah orang
terakhir yang mampu melakukannya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramkarpal mengulas cadangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) - yang diasaskan
Mahathir - agar Mahathir menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri
sehingga PRU15.
Menyampaikan keputusan jawatankuasa penaja Pejuang di Facebook, setiausaha
politik Mahathir, Abu Bakar Yahya berkata: "Kami ahli jawatan kuasa penaja
parti Pejuang telah pun memutuskan dengan sebulat suara bahawa Tun M sebagai
calon perdana menteri bagi menggantikan perdana menteri yang ada sementara
menunggu pilihan raya umum ke-15 jika negara mahu diselamatkan."
Selepas keruntuhan pentabdiran PH Mac lalu, gabungan itu mendakwa ia mempunyai
jumlah kerusi Parlimen yang cukup untuk kembali menubuhkan kerajaan.
Bagaimanapun keputusan tidak dapat dicapai berhubung siapa yang akan menjadi
perdana menteri.
Di tengah-tengah kebuntuan antara Mahathir dan Presiden PKR Anwar IBrahim, DAP
dan Amanah menyuarakan sokongan terhadap cadangan agar bekas pengerusi Bersatu
itu sekali lagi mengetuai kerajaan.
DAP dan Amanah juga kemudiannya menyokong cadangan Mahathir agar Presiden
Warisan Shafie Apdal menjadi calon perdana menteri. Cadangan itu ditolak
Anwar.
Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng - yang menggesa
Muhyiddin untuk fokus dalam usaha menangani wabak Covid-19 berbanding kemelut
dalam Perikatan Nasional - memilih untuk menghindari isu berkenaan pendirian
DAP.
"Saya diminta oleh media untuk memberi komen tentang pendirian DAP mengenai
perkembangan politik semasa berikutan perpecahan PN dan parti-parti komponen
kerana tidak berpuas hati dengan kelemahan perdana menteri dalam menangani
krisis kesihatan Covid-19.
"Namun, tidak ada keperluan untuk menyatakan atau mengulangi pendirian parti
ketika orang awam mendambakan kerajaan yang bertanggungjawab kepada
kepentingan negara dan rakyat, bukannya hanya untuk survival individu dan
politik mereka sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Ramkarpal membangkitkan bagaimana Mahathir meletakkan jawatan
pada awal tahun ini tanpa berbincang dengan pimpinan PH serta janjinya agar
Anwar menggantikannya.
"Dia letak jawatan sebagai perdana menteri. Dia kata ini kerana dia dikatakan
tidak lagi ada majoriti pada masa itu...Dia tidak peduli untuk berunding
dengan kerajaannya atau Kabinetnya. Dia buat mengikut caranya sendiri.
"Kini dia nak jadi perdana menteri sekali lagi. Sebagai warga Malaysia saya
bertanya pada diri sendiri, adakah tiada orang lain?
"Adakah kita akan lantik orang sama yang berjanji kepada negara yang dia akan
serahkan baton kepada Anwar tetapi hari ini memberitahu kita dia tidak sesuai
untuk negara?
"Mengapa beritahu kami jika anda pada masa itu fikir dia (Anwar) sesuai? Untuk
raih undi?" soalnya lagi.
Ramkarpal juga membangkitkan tindakan lampau Mahathir, terutama ketika pertama
kali menjadi perdana menteri, termasuklah penangkapan pengkritik kerajaan.
Dia juga berkata Mahathir menjanjikan sejumlah pembaharuan sebelum PRU14
tetapi kemudian berkata janji itu dibuat ketika dia tidak menjangka akan
menang.
"Dulu saya percayakannya.
"Hari ini dia benar-benar mahukan kerajaan tanpa Anwar, dan ia membangkitkan
persoalan: Mengapa anda berbohong pada masa lalu dengan menjanjikan jawatan
(perdana menteri) kepadanya?
Join our Telegram Channel