
SINGAPURA – Pada pertengahan April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr
Noor Hisham Abdullah dinamakan sebagai “antara doktor terbaik dunia” oleh
sebuah stesen televisyen China yang kagum dengan strategi beliau dalam
menangani Covid-19 di Malaysia.
Enam bulan berlalu dan dengan Malaysia sedang mengharungi gelombang ketiga
pandemik itu, reputasi beliau tetap gah.
Kali ini nama beliau dinyatakan dalam tajuk berita portal The Independent,
Singapura yang dibaca: “Drs Noor Hisham, Bloomfield and Fauci – Covid’s heroic
trio” (Dr Noor Hisham, Bloomfield dan Fauci – Trio Wira Covid).
Wacana itu ditulis oleh Tan Bah Bah, editor perunding portal berita tersebut
dan juga merupakan bekas penulis kanan The Straits Times.
Dalam kolumnya ‘Sense And Nonsense’, Tan memulakan dengan: “Tidak dapat
dinafikan, hero asal pandemik Covid-19 ialah mendiang Dr Li Wenliang, pakar
oftalmologi yang merupakan orang pertama memberi amaran kepada pihak berkuasa
kesihatan di Wuhan tentang virus itu Disember lepas.
“Tatkala Beijing berjaya mengawal situasi di wilayah Hubei dan lain-lain
kawasan di China, negara-negara lain yang bergelut menentang virus itu turut
melahirkan wira masing-masing.
“Seorang daripada mereka memainkan peranan penting di sebuah negara yang akan
menghadapi pilihan raya pada 3 Nov ini yang keputusannya bakal membawa kesan
di seluruh dunia,” tulis Tan, merujuk kepada Dr Anthony Stephen Fauci,
Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan Amerika Syarikat.
Seorang lagi ialah Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Dr Ashley Bloomfield.
Tan seterusnya berkata tiga pakar kesihatan awam negara itu kini menjadi
perhatian antarabangsa, selain Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Mengenai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia itu, Tan menulis: “Hampir setiap
petang sejak beberapa bulan lepas, rakyat Malaysia setia menonton siaran
langsung taklimat Covid-19 yang disampaikan oleh Dr Noor Hisham.
“Beliau tenang memperincikan perkembangan terkini, dan secara bersahaja saling
beralih di antara bahasa Inggeris dan Melayu. Beliau merupakan jurucakap
negara tentang usaha Malaysia membendung penularan virus itu.”
Tan juga berkata usaha Dr Noor Hisham “tidak berhenti setakat itu. Beliau juga
membuat hantaran Twitter dari hati.”
“Kita perlukan perpaduan untuk menentang pandemik ini, bukan saling
bertelagah. Barisan hadapan kita berjuang di lapangan sejak 10 bulan lepas,
24/7. Keletihan mental dan fizikal kini dirasai. Sesetengahnya sudah bersedia
untuk mengalah. Belajarlah dari Sabah,” demikian hantaran Twitter Dr Noor
Hisham yang dipetik oleh Tan.
“Malaysia mengalami peningkatan mendadak sekarang disebabkan, antaranya
pilihan raya Sabah,” kata Tan dalam artikelnya itu.
Tan juga berkata di New Zealand, individu yang setara dengan Dr Noor Hisham
ialah Dr Bloomfield yang memenangi hati dan minda rakyat negara tersebut
dengan kepimpinannya yang tenang sepanjang pelaksanaan sekatan.
Editor perunding itu turut menyifatkan Dr Fauci sebagai “tidak mudah gelabah”.
Artikel penuh boleh diakses menerusi
https://theindependent.sg/drs-noor-hisham-bloomfield-and-fauci-covids-heroic-trio/.
Join our Telegram Channel