Amanah sahkan Adun keluar parti, join PKR



Amanah mengesahkan Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar telah keluar parti untuk menyertai PKR.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Amanah Selangor, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim dalam satu kenyataan hari ini.

“Amanah Negeri Selangor ingin memaklumkan bahawa Mohd Fakhrulrazi, Adun Meru telah keluar dari parti Amanah untuk menyertai PKR.

“Oleh itu, semua jawatan parti yang disandang oleh beliau terbatal serta merta.


“Amanah Selangor mengucapkan terima kasih di atas sumbangan beliau selama ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu meletakkan noktah ke atas spekulasi keluar parti membabitkan Mohd Fakhrulrazi yang bertiup semalam.

Semalam, sumber dari Amanah menafikan khabar angin itu dengan mendakwa Mohd Fakhrulrazi “belum” keluar parti secara rasmi, dan bahawa PH mempunyai persefahaman bersama untuk tidak menarik ahli daripada “parti rakan”.

Mohd Fakhrulrazi ketika dihubungi semalam enggan mengulas mengenai perkara itu, manakala usaha menghubungi Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, yang bertanggungjawab berhubung keahlian parti, tidak berjaya.


Fakrulrazi, lahir pada tahun 1978, disabitkan dan didenda RM1,800 pada tahun 2016 kerana mengucapkan kata-kata hasutan semasa perhimpunan #KitaLawan pada tahun 2015.

Sebelum bergabung dengan Amanah pada akhir tahun 2015, beliau adalah bendahari Pemuda PAS.

Amanah memenangi sembilan kerusi di dewan perundangan Selangor semasa pilihan raya 2018.

Parti itu memecat Ahmad Mustain Othman, Adun Sabak, awal tahun ini. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram