JITRA – Polis mengambil tindakan terhadap seorang kanak-kanak kerana
menunggang motosikal di Kampung Paya Chegar di sini selepas video
kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata,
selain kanak-kanak terbabit, tindakan undang-undang turut dikenakan terhadap
warisnya yang hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu kira-kira pukul
2.40 petang tadi.
“Kanak-kanak lelaki yang berusia di bawah 10 tahun itu dikenakan tindakan di
bawah kesalahan lalu lintas iaitu menunggang motosikal di bawah umur, cukai
jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta tidak memakai topi
keledar.
“Manakala waris kanak-kanak tersebut diambil tindakan di bawah Seksyen 39(5)
Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu
kenderaan bermotor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Video berdurasi kira-kira 19 saat yang tular itu memaparkan tindakan seorang
kanak-kanak berhenti di satu simpang tiga sebelum ditegur pemandu kenderaan
pacuan empat roda.
Sebaik meneruskan perjalanan, kanak-kanak itu turut cuba melakukan aksi
mengangkat tayar depan motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya, sebelum
rakaman berakhir.
Tambah Mohd. Ismail, video tersebut dipercayai dirakam kira-kira pukul 6
petang semalam.
Please subscribe
Join our Telegram Channel