
Bawah kepemimpinan Muhyiddin Yassin, Pemuda Bersatu (Armada) menzahirkan rasa
bangga mereka apabila parti itu berjaya melahirkan dua perdana menteri
meskipun mereka baru berusia setahun jagung.
Semasa menyatakan rasa gembira itu, Ketuanya Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan
Ahmad Kamal mengaggap presidennya sebagai seorang pemimpin yang penuh kaliber.
“Jika bertempur di medan juang, dialah panglimanya. Jika dilambung ombak di
lautan, dialah nakhodanya.
“Di bawah karisma kepimpinannya, parti kita yang baru setahun jagung ini
berjaya memecahkan monopoli dan melahirkan dua perdana menteri.
“Tidak lain dan tidak bukan (beliau ialah) yang amat berhormat Tan Sri Datuk
Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, presiden kita!” laungnya disambut tepukan
ahli parti yang menonton secara dalam talian.
Dia berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agung
Tahunan Bersatu kali ketiga yang disiarkan secara langsung di Facebook.
Sesuai dengan keadaan semasa majlis berkenaan diadakan secara maya dengan
perwakilan di setiap negeri dikumpulkan di satu lokasi khas.
Untuk rekod Bersatu ditubuhkan menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu oleh
beberapa bekas pemimpin kanan Umno. Muhyiddin dilantik sebagai presiden
manakala Dr Mahathir Mohamad dipilih sebagai pengerusi.
Selepas Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat untuk menjadi kerajaan pada 2018
Mahathir dilantik sebagai perdana menteri.
Perlembagaan Bersatu menetapkan pengerusi adalah pemimpin tertinggi parti
berkenaan. Bagaimanapun pertikaian dalaman menyaksikan Mahathir tersingkir dan
sehingga kini jawatan pengerusi dipangku Muhyiddin.
Kata Wan Ahmad Fayhsal memang menjadi misi utama Bersatu untuk menawarkan
kepemimpinan yang berwibawa, pemerintahan yang baik, demokrasi yang sihat dan
negara yang adil dan saksama demi kebahagian rakyat.
Dia Fayhsal turut menyingkap Belanjawan 2021 yang lulus untuk bacaan kali
kedua pada Khamis lalu di Dewan Rakyat.
Memanjatkan kesyukurannya, timbalan menteri belia dan sukan itu berkata,
berbekalkan kejayaan itu, dia yakin, bukan saja Bersatu mampu memenangi PRU
akan datang, bahkan mampu mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
“Jika kita kekalkan momentum hari ini, percayalah tuan-tuan, kita akan berjaya
di pilihan raya akan datang, malah kembali dengan majoriti dua pertiga yang
tidak pernah dicapai sejak hampir dua dekad!” katanya lagi.
Kali terakhir dua pertiga kerajaan memegang majoriti dua pertiga di Dewan
Rakyat adalah pada PRU 2004, di mana BN merangkul 90 peratus kerusi.
Bagaimanapun, sejak PRU 2008, bilangan kerusi yang dipegang BN merosot,
sebelum tumpas buat pertama kali dalam sejarah kepada PH.
Join our Telegram Channel