
ADA pada satu saat kebencian yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Muar Syed
Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak dilihat berada pada kemuncak yang paling tinggi
Dia pernah menyuarakan perasaan kecewa dengan tindakan perdana menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang disifatkan sebagai ‘ayah’ yang mengkhianati asas
penubuhan Bersatu apabila bekerjasama dengan kalangan kleptokrat.
“Beliau seperti ayah saya sendiri dan merupakan antara sebab kenapa saya
menyertai politik,” tegas Syed Saddiq.
“Beliau salah seorang yang lantang bersuara menentang kleptokrat global.
Beliau dipecat oleh partinya kerana membantah golongan kleptokrat itu.”
Syed Saddiq meluahkan perkara itu ketika ditemu bual pengacara Mehdi Hasan
dalam rancangan UpFront di saluran berita Al Jazeera Mac lalu sebaik kerajaan
Pakatan Harapan tumbang.
Hari ini, Ahli Parlimen Muar itu hadir sendiri ke kediaman Najib dan Ahli
Parlimen Pekan itu menyambutnya dan dilayan sebagai tetamu.
“Ada tetamu datang rumah hari ini. Bertukar pandangan. Bincang dan nasihat,”
tulis Najib ringkas di media sosialnya.
Dan di Twitternya, Syed Saddiq dengan ringkas memberitahu, beliau bertemu
dengan Najib untuk berbincang beberapa isu terutama berkaitan Belanjawan 2021
yang akan berhadapan undi belah bahagian sama ada diterima atau ditolak oleh
220 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat esok.
“Sempat bertemu DS @NajibRazak dan bincang beberapa isu dan desakan
Belanjawan. Saya percaya, seperti Undi 18 kita kena duduk dan bincang bersama
Ahli Parlimen yang lain untuk kepentingan rakyat. Esok undi Belanjawan 2021.
Kalau sokong, komen ya, kalau tolak, komen tidak,” ciap Syed Saddiq di
Twitter.
Di Facebooknya pula, bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang turut berkongsi
gambar pertemuan itu menegaskan dia sentiasa percaya kepada prinsip tidak
memihak.
“Dahulu, bila berkhidmat di KBS sebagai Kerajaan, dapat bekerjasama dengan DS
Najib berkenaan #Undi18 . Sejarah baru tercatat apabila x3 Pindaan
Perlembagaan berjaya diluluskan & 7.8juta Pengundi Muda diangkat.
“Kini, bila di kerusi Pembangkang pula, bincangkan soal #Belanjawan2021 .
Malaysia perlu membudayakan Bipartisanship,” kata Syed Saddiq.
Beliau berkata, tidak salah untuk semua pihak duduk semeja demi kepentingan
negara dengan menjadikan Malaysia sebagai keutamaan.
Antara yang dibincangkan termasuk isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,
pelanjutan moratorium, isu cukai durian runtuh, peruntukkan RM85 juta kepada
JASA, kebajikan Mahasiswa dan lain-lain.
“Saya dan Muda percaya perbincangan dengan Ahli Dewan Rakyat dari mana-mana
parti adalah sebahagian dari tugas politik. Ketepikan ego politik dan cari
jalan terbaik untuk negara. Apa pandangan rakan rakan?


Join our Telegram Channel