
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam tiga kejadian
berasingan membakar lapan kereta yang diletakkan berhampiran sebuah
kondominium di Jalan Putramas, di sini, ditahan di sebuah hotel di sebuah
pusat peranginan, Isnin lalu.
Suspek berusia 35 tahun yang bekerja sebagai ejen insurans itu disyaki akan
mengenalpasti semua pemilik kenderaan yang menjadi sasarannya sebelum berpakat
dengan pemilik kenderaan untuk membakar kereta mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros
Azhan Nik Ab Hamid, berkata modus operandi suspek adalah untuk mendapatkan
komisen tuntutan insurans daripada pemilik kenderaan yang dibakarnya secara
sengaja.
"Sepanjang tahun ini terdapat tiga kes membabitkan kejadian kenderaan yang
dipercayai sengaja dibakar oleh suspek yang sama sehingga mendatangkan
kegusaran kepada penduduk di kawasan setempat di Jalan Putramas di sini.
"Kejadian pertama dilaporkan pada 9 Jun lalu membabitkan tiga kenderaan,
sebelum tiga lagi kenderaan dibakar pada 4 Julai lalu dan dua kenderaan
dikesan dibakar dan kejadian berlaku antara jam 12.30 tengah malam hingga jam
4.30 pagi Isnin lalu sebelum dia ditahan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, antara kenderaan yang dibakar adalah Mercedes Benz,
Bentley, Toyota, Perodua dan Nissan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen
475 Kanun Keseksaan.
Join our Telegram Channel