Hashim Mohd Ali adalah adik-beradik dengan Siti Hasmah, ipar Dr Mahathir. |
Bekas ketua turus Angkatan Tentera Malaysia Jeneral (bersara) Hashim Mohd Ali
tampil membantah larangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap
penjualan minuman keras jenis liquor di kedai runcit, kedai serbaneka dan
kedai ubat Cina mulai Oktober tahun depan oleh .
Menyuarakan sokongannya terhadap kenyataan Presiden Persatuan Patriot
Kebangsaan Brig-Jeneral (bersara) Mohamed Arshad Raji, Hasim berkata walaupun
bukan urusannya untuk mempromosikan pengambilan alkohol, kerajaan mesti
menghormati hak orang bukan Islam.
Katanya, ini kerana masyarakat Malaysia hidup di negara yang berbilang agama
dan selama beberapa generasi, tidak ada masalah dalam penjualan minuman keras
di kedai-kedai ini.
"Angkatan Tentera Malaysia juga berbilang kaum dan terdiri daripada orang
Islam dan bukan Islam. Pembelian dan meminum liquor terbuka untuk pegawai dan
tentera bukan Islam dari kedai Pernama (Perbadanan Perwira Niaga Malaysia)
tidak pernah menjadi masalah.
"Sebenarnya, ini membolehkan pegawai kanan memantau tingkah laku pembelian dan
minum anggota tentera bersenjata bukan Islam di bawah pengawasan mereka," kata
Hashim pada satu kenyataan hari ini.
"Terdapat banyak perkara yang lebih memudaratkan, seperti rokok, yang dijual
di kedai-kedai ini dan tidak boleh ada dwi standard dalam mengeluarkan polisi
sedemikian untuk mengekang penjualan minuman keras.
"Lebih jauh lagi, perkara terakhir yang diperlukan oleh ekonomi kita dalam
krisis ini atau selepas wabak adalah membendung aktiviti perniagaan yang sah,"
kata Hashim yang juga presiden The Chiefs' Circle yang membariskan panglima
tentera yang sudah bersara.
"Apa yang lebih membimbangkan ialah pemimpin PAS, Ahmad Marzuk Shaary, yang
juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah
menyatakan bahawa larangan itu mungkin akan dilanjutkan ke negeri-negeri
lain," kata Hashim.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata garis panduan
baru mengenai lesen minuman keras dibuat setelah melakukan tinjauan mengenai
garis panduan yang digunakan di negara lain sebelum dilaksanakan di sini.
"Saya hanya ingin mengingatkan menteri 'yang baru setahun jagung' agar tidak
terlalu berlebih-lebihan membuta tuli dalam menegakkan kepercayaan agama
mereka kepada rakyat Malaysia yang berlainan keyakinan.
"Itu sendiri bertentangan dengan prinsip-prinsip dasar Islam yang menyuruh
umat Islam yang berkuasa supaya melindungi hak dan kebebasan orang bukan Islam
di bawah jagaan mereka," kata Hashim lagi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel