
DEBARAN Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) akhirnya terjawab apabila
rakyat negara itu memilih wakil Parti Demokrat, Joe Biden sebagai Presiden AS
ke-46 bagi menggantikan Donald Trump daripada parti Republikan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan kemenangan Biden, 77 dan pasangan regu beliau
bagi jawatan Naib Presiden AS, Kamala Harris, 56, adalah manifestasi
ketidakpuasan hati rakyat sepanjang Trump bergelar Presiden.
Ramai rakyat AS sudah muak dan tidak betah dengan cara Trump menguruskan
negara. Bilionair hartanah itu dilaporkan gagal bertindak segera menangani
pandemik koronavirus (Covid-19) dan pada masa sama gagal mengatasi isu
mendesak seperti kemelut ekonomi dan perpecahan kaum.
Sepanjang bermulanya karier politik Trump, beliau dikenali sebagai seorang
pemimpin yang bercakap lantang dan tidak mempunyai empati terhadap kesulitan
orang lain.
Justeru, Biden yang juga veteran politik AS dilihat sebagai alternatif terbaik
pada ketika ini untuk memulihkan kembali AS. Ramai mengharapkan gandingan
Biden dan Harris bakal membawa angin perubahan positif sama ada di peringkat
domestik mahupun antarabangsa.
Persoalannya adakah kemenangan Biden yang merupakan pemimpin tertua dipilih
sebagai Presiden AS ini benar-benar mampu membawa perubahan besar terhadap
hubungan luar dan dasar AS dengan kuasa dunia lain terutamanya negara-negara
Islam?
Profesor Madya Dr Abdillah Noh daripada Jabatan Sains Politik, Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia berpendapat, kemenangan Biden dalam persaingan
merebut jawatan Presiden AS adalah kerana beliau dilihat sebagai calon yang
lebih baik berbanding Trump.
“Boleh dikatakan tidak semua yang mengundi Biden menyukai beliau tetapi ramai
rakyat AS tidak gembira dengan cara Trump menguruskan pandemik Covid-19 selain
beberapa kelemahan lain seperti dasar domestik dan luar yang diamalkan Trump,”
katanya kepada Sinar Harian.
![]() |
Dunia Islam terus kecewa dengan dasar-dasar AS melibatkan negara Asia Barat terutamanya melibatkan negara Palestin. |
Dasar luar AS
Ditanya sama ada kemenangan Biden bakal membawa perubahan besar terhadap
hubungan luar AS terutamanya dengan negara-negara Islam, Abdillah berkata,
tidak kira siapa dilantik Presiden, dasar luar AS membabitkan negara-negara
Islam terutamanya di Asia Barat tidak akan banyak berubah.
“Sebelum ini ramai yang mengharapkan Presiden kulit hitam pertama AS, Barack
Obama mampu mengubah dasar luar AS berhubung Timur Tengah, namun ternyata
hampa.
“Sebaliknya Obama hanya bersetuju membawa keluar tentera AS dari Iraq yang
akhirnya menyebabkan Daesh kembali ke bumi itu dan kemudian mereka terpaksa
mengubah kembali dasar tersebut.
“Secara keseluruhannya, saya berasa agak skeptikal Biden akan membuat sebarang
perubahan besar dalam dasar luar AS di Asia Barat kerana akan ada kumpulan
yang memberi tekanan sekiranya terdapat perubahan radikal terhadap dasar sedia
ada,” katanya lagi.
Tambah Abdillah, apa yang mungkin berbeza adalah pendekatan Biden dalam hal
ini dijangka lebih bersifat diplomatik dan kurang agresif berbanding cara
Trump.
Terdahulu, Biden juga pernah berikrar antara perkara pertama yang akan
dilakukan sekiranya dilantik sebagai Presiden AS adalah menamatkan larangan
perjalanan yang dikenakan Trump pada tahun 2017 terhadap orang Islam daripada
beberapa negara seperti Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen.
Dalam pada itu, Abdillah yakin gandingan Biden yang sememangnya berpengalaman
luas dalam sistem pentadbiran AS ditambah kredibiliti Harris yang pernah
dilabel sebagai Obama versi wanita akan sedikit sebanyak mampu memulihkan imej
AS.
“Saya yakin pengalaman luas Biden antaranya sebagai Naib Presiden AS ketika
pentadbiran Obama, penglibatan dalam pentadbiran George W Bush pada tahun 2002
serta pengalaman terlibat dalam banyak hubungan luar akan membantu beliau
memperbaiki imej AS.
“Berbanding Trump yang tiada pengalaman dalam hubungan luar, Biden dilihat
lebih mampu untuk sedikit sebanyak memperbaiki hubungan AS terutama dengan
beberapa negara di Asia Barat,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik daripada Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, masih
terlalu awal untuk membaca dasar luar Biden yang dijadual mengangkat sumpah
secara rasmi sebagai Presiden AS pada 20 Januari 2021.
“Sebenarnya Biden juga mempunyai karakter yang agak bercampur-campur berhubung
politik identiti, hubungan dengan golongan kulit hitam termasuk juga dengan
hubungan AS dengan Asia Barat, Arab dan sebagainya,” kata Muhamad Nadzri.
Licik
Berbanding Trump yang sebelum ini mengamalkan dasar pemencilan dan lebih fokus
kepada kepentingan AS, ada pendapat mengatakan Biden dan pasangan naib
presiden beliau, Harris yang berasal dari keluarga imigran bersikap lebih
mesra terhadap Muslim dan lebih sensitif kepada golongan minoriti.
“Kita mungkin boleh lihat Biden tidak akan lari jauh daripada corak
pentadbiran Obama sekali gus menterbalikkan dasar-dasar Trump sebelum ini. Ini
akan meningkatkan kembali dominasi AS di peringkat antarabangsa daripada segi
ketenteraan atau ekonomi.
“Oleh itu, kita juga boleh menjangkakan keterlibatan AS di negara-negara Islam
dengan lebih meluas,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Muhamad Nadzri menegaskan negara-negara Islam harus mengambil
pendekatan berhati-hati dalam mendepani AS sebuah negara berkuasa yang licik.
“Negara-negara Islam harus bijaksana dalam mendepani perubahan politik di AS.
Peralihan kuasa AS daripada Trump yang mewakili Parti Republikan kepada Biden
daripada Parti Demokrat tidak semestinya menjanjikan perubahan yang optimis,”
katanya.
Presiden dan peperangan:
1. George HW Bush - Presiden ke-41 AS (1989-1993) (Republikan)
Penaklukan Panama (1989)
Perang Teluk (1990)
Perang Bosnia (1992)
![]() |
HW Bush menjadi Presiden AS yang mengarahkan Perang Teluk pada tahun 1990. - Foto Britannica |
2. Bill Clinton - Presiden AS ke-42 (1993-2001) (Demokrat)
Perang Kosovo (1998)
3. George W Bush - Presiden AS ke-43 (2001–2009) (Republikan)
Perang Afghanistan (2001)
Perang Iraq (2003)
![]() |
George Bush memberi lampu hijau untuk tentera AS menyerang Afghanistan. |
4. Barack Obama - Presiden AS ke-44 (2009-2017) (Demokratik)
Campur tangan diketuai AS di Syria (2014)
Perang Saudara Yemen (2015)
5. Donald Trump - Presiden AS ke-45 (Republikan)
Lancarkan serangan membunuh Qasem Soleimani di Iraq (2020)
![]() |
Jeneral tentera Iran, Qasem Soleimani mati dalam satu serangan di Iraq awal tahun ini. |
Join our Telegram Channel