KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk melanjutkan tempoh penangguhan
bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
selepas pusingan ke-2 tamat bulan depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata, pihaknya sedang berbincang
dengan Kementerian Kewangan berhubung perkara itu.
“Untuk moratorium ke-3, kementerian telahpun mengambil tindakan awal, termasuk
mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan kerana sumber dana
daripada kementerian itu.
“Jadi, apa saja tindakan yang dibuat mengenai PTPTN tertakluk kepada kelulusan
kementerian itu dan perkara ini akan dibawa untuk pertimbangan sebaiknya,”
katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Akmal Nasir (PH-Johor Bahru)
mencadangkan kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman PTPTN.
Moratorium pembayaran balik pinjaman PTPTN mula dilaksanakan 1 April hingga 30
Sept lalu, sebelum Putrajaya melanjutkannya selama 3 bulan lagi sehingga akhir
tahun ini.
Mengenai had pinjaman PTPTN, Noraini berkata, kerajaan bersetuju menaikkan
jumlah pinjaman PTPTN daripada RM6,000 kepada RM8,000 bagi pelajar B40
melanjutkan program diploma.
“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada simpanan takaful bermula 2021.”
Join our Telegram Channel