Semua sekolah yang ditadbir Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) - termasuk
di negeri yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat - akan
ditutup mulai esok sehingga hari akhir persekolahan.
Perkara itu diumum Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin pada pagi ini.
Katanya pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang
dikuatkuasakan mulai esok menyebabkan 74 peratus sekolah di bawah KPM ditutup.
Hanya sekolah di Kelantan, Perlis, Pahang dan Sarawak yang tidak terkesan
dengan pelaksanaan PKPB berkenaan.
Justeru kata Radzi KPM mengambil keputusan untuk menutup semua sekolah
kelolaan mereka sehingga hari akhir jadual persekolahan yang ditetapkan
sebelum ini iaitu 17 Dis (bagi negeri yang bercuti Jumaat dan Sabtu) atau 18
Dis (di negeri cuti Sabtu dan Ahad).
Pun begitu, kata menteri kanan terbabit, proses pengajaran dan pembelajaran
akan diteruskan melalui kaedah atas talian atau home based learning
(pembelajaran di rumah) mengikut kesesuaian pelajar.
"Langkah ini diambil bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian wabak
Covid-19," katanya pada sidang media diadakan sebentar tadi.
Tambah Radzi, sepanjang penutupan tersebut juga semua guru perlu kekal berada
di tempat mereka sepatutnya bertugas.
Bagi murid yang tinggal di asrama pula, kata senator itu, ibu bapa atau
penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.
"Bagaimanapun murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu
untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga.
"Sepanjang tempoh tersebut murid akan berada di bawah pengawasan warden
asrama.
"Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan
oleh pihak sekolah," katanya. – Mkini
ARTIKEL BERKAITAN: PKPB di Semenanjung kecuali Pahang, Kelantan & Perlis selama 4 minggu
bermula 9 Nov
Join our Telegram Channel