PETALING JAYA: Umno perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan
diterima parti itu dalam Kabinet Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Annuar Musa berkata, sesetengah individu
dalam parti itu sudah lupa, Umno parti yang kalah dan sudah jatuh.
“Kadang-kadang kita masih dalam kepompong. Kita rasakan Umno sekarang masih
macam Umno dulu yang mana kita perlu dilayan begini dan begitu.
“Kita lupa kita datang dari parti yang telah jatuh dah kalah tetapi secara
berperingkat kita bina semula kekuatan. Jika bercakap soal layanan, layanan
macam mana yang kita mahu,” katanya dalam wawancara bersama Ketua Penerangan
Umno Shahril Hamdan anjuran Umno Online malam ini.
Mengulas mengenai kedudukan Radzi Jidin yang dilantik sebagai menteri kanan
walaupun tewas di tangan beliau pada pilihan raya umum lalu, Annuar yang juga
setiausaha agung Barisan Nasional (BN) berkata, beliau tidak mahu perkara itu
menjadi pertikaian parti kerana jawatan dalam Kabinet adalah hak prerogratif
perdana menteri.
“Menteri kiri atau menteri kanan kita semua adalah anggota Kabinet. Prinsip
saya, bila dah dilantik kita mesti jalankan tugas dengan sebaiknya agar nama
parti terjaga. Adakah jawatan dalam Kabinet kita nak buat tawar menawar,”
katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan isu jawatan dalam Kabinet seharusnya
dirunding oleh parti gabungan sebelum Kabinet dibentuk.
“Kenapa dah lepas 8 bulan baru nak reka cerita kita tidak dilayan dengan adil.
Bagi saya itu cerita rekaan. Separuh daripada Kabinet adalah orang BN. Seramai
11 orang dari BN. Apa yang kita nak buat dalam kerajaan, kita boleh buat.
Kenapa kita nak reka kita tak dilayan dengan baik,” soalnya.
Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh menegaskan, Umno perlu melupakan luka
lama dan kembali bangkit dalam usaha mengukuhkan muafakat Melayu-Islam jika
mahu menawan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Memang, kita semua ada luka. Dengan PPBM pun kita ada luka. Tetapi bagi saya
itu pandangan peribadi. Sekarang, formulanya sudah ada atas meja.
Please subscribe