BALING – Akibat kesempitan hidup, seorang penduduk di Kampung Teluk Teduri di
sini berhasrat untuk menjual sebuah televisyen terpakai miliknya bagi
mendapatkan wang membeli barangan dapur.
Mohd. Nasir Din, 38, berkata, dia bercadang menjual barangan elektronik
jenama Sharp berukuran 29 inci yang diberikan oleh kakaknya itu dengan harga
RM100.
“Saya tidak mempunyai pilihan untuk mendapatkan duit kecuali dengan menjual
televisyen ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurut Mohd. Nasir, dia tinggal bersama isterinya, Suhaida Mohd. Ghazali, 33,
yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) masalah pertuturan.
Pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata.
“Saya kehilangan sumber pendapatan kerana tidak lagi bekerja di bengkel besi
selepas pergelangan tangan kiri patah akibat terjatuh semasa memasang bumbung
di sebuah rumah di daerah ini kira-kira dua bulan lalu.
“Saya dan isteri pernah tidak makan nasi selama kira-kira seminggu kerana
tidak mempunyai wang untuk membeli beras sementara menanti isteri yang
bekerja di kilang mendapat gaji pada hujung bulan,” katanya.
Selain itu, Mohd. Nasir memberitahu, dia juga perlu mencari wang sebanyak
RM2,600 yang akan digunakan untuk memasang besi pada pergelangan tangan
kirinya yang patah itu dalam masa terdekat ini.
Pada masa sama, Mohd. Nasir berkata, dia turut membantu isterinya menjual
kerepek dan ikan pekasam yang diambil daripada rakan-rakan bagi menjana
pendapatan tambahan.
“Isteri saya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak
RM400 sebulan,” katanya.
Join our Telegram Channel