Situasi Dewan Rakyat bertukar kecoh selepas berlaku pertikaman lidah antara
Speaker Azhar Azizan Harun bersama dua anggota parlimen pembangkang.
Ia bermula ketika Anggota Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Azhar untuk
melihat kembali ruling (keputusan) yang dibuat Timbalan Speaker Azalina Othman
Said berhubung kenyataan Anggota Parlimen Bintulu, Tiong King Sing yang
didakwa menghina Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam.
Guan Eng mengulangi gesaan Anggota Parlimen Jelutong, RSN Rayer semalam untuk
menggesa Tiong untuk memohon maaf, namun menurut Azhar keputusan itu sudah
dibuat Azalina dan "tidak baik" jika dia mengubah keputusan berkenaan.
“Saya dah baca hansard. Saya berpendapat retorika bahasa dan penggunaan kata
amat besar dan saya perhalusi hansard dan apabila ruling dah dibuat itu final
(muktamad) maka saya tidak ada kuasa revisit (kaji semula),” kata Azhar.
Namun Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata ruling yang dibuat oleh
Azalina sebagai "bodoh".
“Tetapi itu ruling yang bodoh,” katanya.
Azhar kemudian berang dan meminta Lip Eng keluar dari Dewan Rakyat serta
menggantungnya selama dua hari.
Susulan itu, berlaku pertikaman lidah selepas Lip Eng enggan keluar, yang
menyebabkan Azhar menggantung Lip Eng selama lima hari dan mengancam akan
memanggil polis jika dia masih enggan keluar.
“Kamu keluar, kalau tidak saya panggil polis,” kata Azhar.
Kekecohan hampir serupa berlaku semalam melibatkan Rayer.
Ia susulan kenyataan ahli parlimen Bintulu yang menyifatkan Noor Hisham "takut
mati" kerana tidak hadir sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak
Covid-19 di negeri itu.
“DG (Dr Noor Hisham) takut mati sebab dia tak turun di Sabah, tak lockdown
awal-awal di penjara,” kata wakil rakyat dari Sarawak itu.
Azalina ketika itu memberi dua pilihan kepada Tiong sama ada untuk menarik
balik kenyataannya atau menjelaskan perkara yang disebutkannya.
Bagaimanapun, Tiong tetap enggan menarik balik kenyataannya.
“Ini suara petugas barisan hadapan, jadi saya tidak mahu tarik balik. Selalu
(Noor Hisham) hantar orang. Dia kena pergi jugalah,” tegas Tiong.
Semalam, Noor Hisham menjelaskan bahawa dia sudah turun padang pada akhir Ogos
lalu untuk melihat sendiri bagaimana persiapan anggota Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) di Sabah menjelang pilihan raya negeri ketika itu.
Please subscribe
ARTIKEL BERKAITAN:
- KECOH: MP Bintulu serang DG takut mati, hanya mahu publisiti
- Saya tiada niat jahat terhadap DG, kata Tiong
- Orang Islam terima kematian di mana-mana pun – Dr Noor Hisham
Join our Telegram Channel