
KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan platform politik hari ini
untuk mendedahkan hubungan partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
dengan UMNO.
Kata Presiden Bersatu itu, beliau akan berterus terang mengenai hubungan itu
bagi memadamkan persepsi orang ramai terutama ahli dan penyokong mengenai
hubungan kedua parti yang dikatakan agak hambar, tidak mesra dan tidak akrab
serta belum ada keserasian.
Jelasnya, sebelum ini beliau dinasihatkan supaya jangan banyak bercakap soal
politik pada masa ini kerana rakyat sedang susah akibat daripada serangan
wabak Covid-19.
“Masalah pandemik Covid-19, masalah ekonomi, jadi takkanlah Perdana Menteri
nak bercakap soal politik. Kerana itu saya banyak berdiam diri dan kurang
menyentuh mengenai hal politik.
“Tetapi, hari ini adalah hari Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. Semua
perwakilan berhak tahu apa situasi politik yang sedang kita hadapi pada masa
ini dan apa hala tuju parti kita di masa hadapan.
“Maklumlah, sebahagian dalam Bersatu termasuk saya sendiri dahulunya dari UMNO
juga. Kemudian ada rakan yang lain dari UMNO menyertai Bersatu,” katanya pada
Perhimpunan Agung Parti Bersatu yang diadakan secara maya, hari ini.
Menurut Muhyiddin, beliau tidak mahu mengungkit kisah silam kerana itu telah
menjadi sejarah, tetapi, hakikatnya telah terpahat dalam lipatan sejarah,
Bersatu dan UMNO menjadi seteru politik.
“UMNO di sebelah sana, Bersatu di sebelah sini. Dalam pilihan raya kita
bertembung antara satu sama lain. Jadi, mungkin luka masih berdarah. Parut
masih berbekas.
“Tetapi takdir Allah mempertautkan Bersatu dan UMNO. Krisis politik yang
berlaku pada awal tahun ini tidak semena-mena meletakkan kedua parti ini dalam
satu saf politik yang sama.
“Daripada seteru politik dalam Pakatan Harapan (PH), kita menjadi rakan sekutu
dalam kerajaan Pakatan Nasional (PN),” katanya.
Katanya, beliau tahu mungkin ada pihak yang tidak selesa dengan keadaan itu,
seolahnya, mereka dipaksa atau terpaksa untuk bekerjasama sehingga timbul
bermacam perkara yang tidak elok didengar dalam hubungan antara kedua parti
berkenaan.
“Saya sedar hal ini menyebabkan kita berada dalam satu situasi yang agak sukar
dan mencabar, tetapi dalam keadaan yang mencabar ini, saya ingin mengajak
semua perwakilan untuk berfikir sejenak.
“Cuba kita renungkan. Fikir dalam-dalam. Adakah takdir Allah yang
mempertautkan Bersatu dan UMNO, termasuk juga Pas dalam satu saf politik ini
berlaku begitu sahaja tanpa ada apa-apa hikmah di sebaliknya?
“Tidakkah kita terfikir bahawa Allah sebenarnya sedang menguji kita? Sama ada
kita sedar atau tidak, kita sebenarnya sedang diuji oleh Allah. Baik dalam
keadaan kita mempunyai kuasa pemerintahan atau sebaliknya, Allah menguji
kita,” ujarnya.
Menurutnya, kemelut politik yang sedang dihadapi ini adalah satu bentuk ujian
yang didatangi oleh Allah kepada mereka dan sebagai orang Islam, beliau
percaya ada kebaikan di sebalik ujian getir ini.
Kata beliau, di hadapan kini terbentang luas peluang untuk mempersatukan umat
Melayu dan Islam di Malaysia yang telah mengalami perpecahan politik sejak
sekian lama.
“Namun, sedarlah, krisis politik yang berlaku di negara kita pada awal tahun
ini telah mempertautkan pimpinan politik Melayu dalam Bersatu, UMNO dan Pas
dalam satu saf politik yang sama.
“Pada saya, pertautan ini adalah satu langkah awal untuk mewujudkan penyatuan
ummah yang lebih besar. Justeru, saya ingin mengingatkan diri saya dan
mengajak semua perwakilan supaya melihat maslahah yang lebih besar,
kepentingan yang lebih utama.
“Alangkah baiknya jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat
bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah-belah dalam
kabilah kecil yang melemahkan kita,” katanya.
Tegas Muhyiddin, jika seseorang itu hanya memikirkan kepentingan kabilah,
kelompok dan partinya sahaja, selama-lamanyalah mereka akan berpecah-belah dan
seruan perpaduan Melayu, penyatuan ummah selama ini akan menjadi retorik
semata-mata.
Oleh itu, apa salahnya jika semua berebut peluang yang didatangi oleh Allah
menerusi ujian-Nya ini untuk memperkukuhkan penyatuan sesama ummah.
“Inilah masanya untuk semua pemimpin Melayu mengetepikan perbezaan politik dan
bangkit mempertautkan hubungan silaturrahim dalam semangat ukhuwwah dan
mahabbah demi maslahah yang lebih besar, iaitu penyatuan umat Melayu di negara
ini.
Join our Telegram Channel