Mungkin saya orang paling dibenci di Malaysia sekarang



Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) belum membuat keputusan membenarkan pengeluaran wang dari Akaun 1 dan masih dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Tunku Alizakri Alias berkata, KWSP tidak akan menggadaikan masa depan pencarumnya dengan membuat keputusan melulu atau terpengaruh dengan mana-mana desakan berhubung isu berkenaan.

Tunku Alizakri berkata, meskipun berdepan pelbagai tekanan termasuk daripada ahli politik yang sebulat suara menyokong pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1, katanya, ia tidak akan mematahkan semangat pasukannya dalam membuat keputusan terbaik demi jaminan masa depan pencarum.

"Saya faham ramai orang marah, bimbang, rungsing kerana kesan pandemik ini yang tidak pernah berlaku kesan sebesar ini.


"Mungkin, saya menjadi orang paling dibenci di Malaysia sekarang kerana membuat keputusan yang tidak popular.

"Biarlah orang kecam saya tetapi akan jalankan tugas saya untuk melindungi masa depan ahli," katanya seperti dipetik Harian Metro.

Kata Tunku Alizakri, KWSP mendengar pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Kita akan melihat semua aspek secara menyeluruh dengan mengimbangi keperluan semasa ahli sebelum membuat keputusan rasional yang bukan saja akan menyelesaikan masalah hari ini tetapi menjamin kelestarian masa depan ahli," katanya lagi.


Gaji rendah punca caruman rendah

Tunku Alizakri turut mendedahkan bahawa berdasarkan statistik KWSP, sejumlah 43 peratus atau 5.38 juta ahli di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 mereka.

Statistik itu menunjukkan bahawa 54 peratus atau 137,000 daripada 245,000 ahli yang berumur 54 tahun pada 2020, mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dan bakal mengharungi hidup persaraan dengan pendapatan hanya RM200 sebulan bagi tempoh 20 tahun.

"Jumlah RM200 itu adalah sangat jauh daripada paras kemiskinan negara iaitu RM2,208 untuk satu isi rumah dan juga RM2,450 untuk perbelanjaan asas seorang warga emas seperti yang dinyatakan dalam kaji selidik oleh Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC)," katanya lagi.

Tambahnya lagi, faktor gaji yang rendah menjadi punca ramai pencarum mempunyai simpanan yang sedikit dalam Akaun 1.

"Sebelum ini ramai pencarum yang memiliki gaji asas rendah di mana selebihnya adalah dalam bentuk elaun.


"Namun, keadaan itu kini sudah bertambah baik susulan penetapan gaji minimum yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya lagi.

Cadangan untuk membenarkan pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 1 mendapat pelbagai reaksi, dengan sesetengah pakar berkata langkah itu bukanlah penyelesaian yang baik dalam membantu rakyat berdepan kesempitan ekonomi.

Ada pula yang mempersoalkan hikmah menyimpan wang untuk kegunaan pada waktu sukar, sedangkan kesulitan ekonomi sudah pun melanda sekarang.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan yang pencarum akan dibenarkan mengeluarkan RM500 sebulan daripada Akaun 1 selama 12 bulan, atau berjumlah keseluruhan RM6,000.

Pengeluaran itu boleh dilakukan bermula Januari 2021.

Tengku Zafrul turut meminta Tunku Alizakri agar bersikap fleksibel dalam perkara itu.

Untuk rekod, berdasarkan laporan tahunan KWSP tahun 2018, gaji CEO dan timbalannya mencecah RM6.05 juta, ataupun purata hampir RM251,976 sebulan setiap seorang ataupun RM8,284 sehari.  – Mkini/Cinca


Sumber: Laporan Tahunan 2018.



Join our Telegram Channel
Telegram