
Petronas akan membayar dividen sebanyak RM34 bilion kepada kerajaan
Persekutuan pada tahun ini, meskipun
mencatatkan kerugian pada suku kedua tahun 2020, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa
Mohamed.
Beliau berkata sejak penubuhannya pada tahun 1974, Petronas telah membayar
RM488 bilion kepada kerajaan dalam bentuk dividen.
“Pada 2019, jumlah dividen yang dibayar oleh Petronas adalah sebanyak RM54
bilion, termasuk dividen khas sebanyak RM30 bilion,” katanya dalam jawapan
bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu sama ada
Petronas akan tetap memberi dividen kepada kerajaan pada tahun ini setelah
mencatatkan kerugian RM21 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020.
Pang turut ingin tahu mengenai impak kerugian tersebut dan implikasi kepada
ekonomi negara secara amnya serta pelan ekonomi Rancangan Malaysia Ke-12
(RMK-12) secara khususnya.
Mustapa berkata RMK-12 yang pada awalnya dijadual dibentangkan pada 6 Ogos
2020 di Dewan Rakyat telah ditangguhkan kepada awal tahun depan bagi
membolehkan kerajaan mengambil kira perubahan yang disebabkan oleh pandemik
Covid-19.
“Memandangkan Covid-19 telah memberi impak yang ketara kepada ekonomi dunia
termasuk Malaysia, maka analisis ekonomi yang diguna pakai ketika penyediaan
dasar, strategi dan inisiatif RMK-12 perlu disemak semula terutamanya unjuran
pertumbuhan ekonomi negara.
“Selain itu, penangguhan ini dibuat bagi membolehkan lebih banyak sesi libat
urus bersama semua pihak berkepentingan diadakan, termasuk kementerian dan
agensi, kerajaan negeri serta pakar ekonomi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel