KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencadangkan supaya individu
yang memperoleh pendapatan tinggi dalam sektor awam dan swasta dipotong
sebanyak 10 peratus bagi membantu golongan yang terjejas akibat pandemik
Covid-19.
Dalam catatan di blognya Chedet.cc, bekas Perdana Menteri itu memberitahu
saranannya itu adalah pengorbanan yang tidak akan membebankan golongan
kategori berkenaan.
Bahkan, katanya, wang yang diperoleh daripada pemotongan tersebut berupaya
membantu rakyat yang kehilangan kerja dan tidak mempunyai pendapatan.
“Pandemik ini memberi paling banyak kesan kepada golongan miskin. Bagi mereka
yang kehilangan kerja dan peniaga kecil, mereka tidak mempunyai pendapatan
langsung.
“Mereka ini kais pagi makan pagi. Mereka juga tidak memiliki wang untuk
membeli makanan. Mereka akan kelaparan,” catat Ahli Parlimen Langkawi itu.
Bukan itu saja, Dr Mahathir dalam tulisannya turut mengulas beberapa perkara
utama yang bertumpu kepada isi Belanjawan 2021 kerajaan yang dibentangkan
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada Jumaat, lalu.
Pengasas parti Pejuang itu menyatakan keresahannya terhadap jawatan menteri
dan ahli Parlimen yang dilihat bermewah dengan nilai elaun yang tinggi sejak
15 tahun kebelakangan ini.
Dr Mahathir berkata, golongan itu disalurkan peruntukkan untuk pelbagai jenis
elaun dengan kadar sehingga 25 peratus setiap kali kenaikan.
Ujar beliau, tindakan tersebut menjadikan ramai orang mahu memegang jawatan
sebagai ahli Parlimen dan menyertai jemaah menteri.
“Adalah lebih baik sekiranya jawatan-jawatan ini dilihat kurang menguntungkan
(pada tatapan awam),” katanya.
Beliau menambah, faktanya Belanjawan 2021 yang baru dibentang itu mendapat
reaksi kurang senang daripada orang ramai.
“Saya berharap belanjawan itu ditambah baik supaya menjadi lebih realistik,
barulah blok pembangkang dan bebas akan menyokong,” jelasnya. –
SuaraTV
Join our Telegram Channel