Senator Ras Adiba Radzi, 52, dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita
Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu, dan merupakan wanita pertama yang
memegang jawatan itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang mengumumkan
perkara itu hari ini, berkata beliau akan berkhidmat selama tiga tahun berkuat
kuasa 23 Nov.
Saifuddin berkata pelantikan bekas personaliti penyiaran berkenaan telah
mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah.
Menteri itu juga yakin Ras Adiba akan menerajui agensi tersebut ke tahap yang
lebih baik di samping meningkatkan mutu dan kualiti penyampaian berita.
“Sebagai ‘orang lama’ dalam dunia penyiaran, saya yakin beliau punyai cukup
pengalaman untuk bantu kita (Bernama) dalam penyampaian berita dan hal ehwal
semasa,” katanya.
Ras Adiba yang dilantik sebagai Senator pada Mei tahun ini, menggantikan
Suhaimi Sulaiman yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Bernama pada 6 Ogos
lepas.
Join our Telegram Channel