Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi jaminan penubuhan semula
Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) akan dianggotai pasukan yang tidak langsung
bermotifkan politik dan peruntukan yang disediakan kerajaan kepada agensi itu
akan dimanfaat bagi melaksanakan fungsi serta peranannya dengan berkesan.
Menurut KKMM, ia diberi tanggungjawab menerajui penubuhan semula Jasa yang
bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi secara tersusun,
strategik serta bersasar mengikut keperluan semua lapisan dan segmen
masyararakat, yang mana tanggungjawab itu menjadi amat penting dan kritikal
ketika negara sedang menghadapi ancaman pandemik Covid-19.
KKMM dalam satu kenyataan hari ini menyebut bahawa Jasa sebagai agensi
kerajaan yang mendukung prinsip Rukun Negara juga berperanan mewujudkan sebuah
negara bangsa yang bersatu padu melalui penyebaran maklumat tepat dan sahih
kepada masyarakat.
"Penyebaran berita-berita palsu yang memecah-belahkan keharmonian masyarakat
juga merupakan antara cabaran besar yang dihadapi oleh masyarakat majmuk kita
hari ini," menurut KKMM yang memahami keresahan rakyat berhubung fungsi Jasa
sebelum ini yang mungkin tidak dilaksanakan sebagaimana ditetapkan semasa
pentadbiran terdahulu.
Menurut kenyataan itu, peruntukan Jasa dalam Belanjawan 2021 adalah bagi
pengambilan lebih ramai kakitangan untuk ditempatkan di semua negeri dan
daerah seluruh negara, pembangunan modul dan latihan kompetensi kakitangan
serta melengkapkan keperluan prasarana digital untuk menyebarkan maklumat
dalam pelbagai bentuk komunikasi secara berkesan kepada semua lapisan
masyarakat.
Selain itu, ia melibatkan kos operasi bagi menggerakkan kakitangan khususnya
ke kawasan yang jauh dan terpencil di seluruh negara serta kos lain yang
diperlukan dalam penubuhan sebuah agensi baru.
Sebelum ini, peruntukan kira-kira RM81 juta kepada Jasa menerusi Belanjawan
2021 yang dibentangkan pada 6 Nov lepas mendapat kritikan beberapa pihak.
Menurut KKMM, segala perbelanjaan Jasa adalah tertakluk kepada peraturan
kewangan kerajaan yang akan diaudit dan sudah tentu peruntukan yang disediakan
kerajaan akan dimanfaat untuk melaksanakan fungsi dan peranan agensi itu
dengan berkesan.
"Peruntukan ini juga secara langsung akan memberi peluang pekerjaan di samping
menggiatkan ekonomi yang memberi manfaat kepada pihak penyedia perkhidmatan
dan pekerja secara keseluruhannya," katanya.
Jasa akan melaksanakan pengambilan pegawai serta kakitangan yang berkelayakan
dan latihan untuk melahirkan pengamal komunikasi berkemahiran terutama dalam
media sosial dan digital bagi menyebarluaskan maklumat penting untuk mendidik
dan membudayakan norma baru dalam kalangan masyarakat.
Katanya Jasa juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh
termasuk pemimpin masyarakat sivil dan komuniti setempat untuk mendapatkan
input penting yang konstruktif bagi pembinaan negara bangsa. – Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel