
Shah Alam: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan
menyampaikan sumbangan peribadi iaitu sebuah motosikal kepada Nur Athirah
Abdul Latiff yang ditimpa musibah apabila motosikalnya dicuri ketika melakukan
kerja penghantaran makanan di Batu Caves, Selangor, Rabu lalu.
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office,
Tengku Permaisuri Norashikin berasa amat sedih dan terharu apabila membaca
berita yang tular mengenai nasib malang menimpa Nur Athirah.
Sumbangan itu disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) kepada Tengku Permaisuri
Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz.
Nur Athirah adalah anak kedua dari tiga beradik tinggal bersama ibunya di Batu
Caves kini bertindak sebagai penyara keluarga dengan melakukan kerja
penghantaran makanan sepenuh masa.
Menurut kenyataan itu lagi, Tengku Permaisuri Norashikin berharap dengan
sumbangan berkenaan, Nur Athirah akan dapat kembali meneruskan kerja harian
dengan sempurna seterusnya membantu keluarga.
Titah baginda lagi, di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan
ketika ini, baginda amat berharap masyarakat di luar sana lebih bersifat
berperikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain.
Baginda turut mendoakan sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa
di dalam perlindungan Allah SWT.
Terdahulu, motosikal Yamaha 135LC milik Mur Athirah dengan nombor plat BQF2182
hilang di depan pasar raya Batu Caves.
Nur Athirah berkata, dia ke pasar raya itu pada jam 1.30 petang untuk
mengambil makanan yang dipesan pelanggan dan meletakkan motosikal di kawasan
berkenaan.

Join our Telegram Channel