MELAKA – Seorang pekerja pembersihan yang bakal berkahwin Mac depan didakwa di
Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba merogol dan mencabul
rakan serumah tunangnya serta menceroboh sebuah kediaman di Taman Tasik Utama,
Ayer Keroh, pada minggu lalu.
Tertuduh, Amirul Hanif Ibrahim, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah
terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di
hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah cuba merogol seorang
perempuan berusia 23 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 376/511 Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh
dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah
terhadap mangsa sama dengan niat hendak mencabul kehormatannya dan didakwa
mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun
atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Amirul Hanif juga berdepan dengan pertuduhan telah melakukan pencerobohan
jenayah tanpa mendapat kebenaran daripada tuan rumah, yang digunakan sebagai
kediaman.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Sekyen 448 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga
RM5, 000 atau kedua-duanya sekali.
Ketiga-tiga tindakan itu dilakukan tertuduh pada pukul 10.53 pagi di sebuah
rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini pada 17 November lalu.
Difahamkan, tertuduh telah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan pada
Mac depan, manakala mangsa merupakan rakan serumah tunangnya.
Kejadian dikatakan berlaku ketika tunangnya tiada di rumah, namun lelaki itu
telah memasuki rumah tersebut menggunakan kunci pendua dan menunggu mangsa
yang kemudiannya telah pulang ke rumah.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri
Hussain tidak mencadangkan sebarang jaminan.
Peguam Ahmad Soleh Yusof yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan
rendah diberikan dengan alasan tertuduh akan memberikan kerjasama dan hadir
sepanjang prosiding, selain jaminan akan dibayar oleh adiknya yang bekerja
sebagai penghantar makanan.
Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10, 000 dengan
jaminan akan dibayar oleh adiknya, selain syarat tambahan melaporkan diri di
balai polis terdekat satu kali setiap bulan serta tidak menghampiri atau
menganggu mangsa sehingga kes selesai.
Join our Telegram Channel