Calon MB Perak mesti daripada Bersatu



KUALA LUMPUR – Sekiranya proses undian percaya yang berlaku semalam adalah melibatkan jawatan Menteri Besar Perak semata-mata, maka jawatan itu harus terus disandang oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut bekas Exco Armada Bersatu, Muzzammil Ismail, parti itu harus diberikan tanggungjawab untuk terus memegang jawatan itu biarpun Timbalan Presiden parti itu sudah ditolak oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, semalam.

“Sepatutnya calon Menteri Besar Perak yang baharu mesti dalam kalangan ADUN Bersatu juga.


“Ini demi kesepakatan MN – PN dan juga semangat setia kawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemelut politik yang berlaku di  Perak yang menyaksikan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang jawatan itu apabila undi percaya tidak memihak kepada beliau.

Untuk rekod, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Muzzammil yang juga Presiden Angkatan Baru Malaysia menasihatkan semua pihak di negeri itu agar tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak dek kerana kuasa.


“Usul undi percaya yang berlaku pada hari ini telah menguji tahap kematangan politik antara Bersatu – Pas dan UMNO.

“Perkara ini akan menyebabkan politik negara berkocak kembali setelah beberapa minggu dalam keadaan tenang,” katanya lagi.

Bersatu hari ini menyatakan rasa kesal dengan penggulingan Menteri Besar daripada parti itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam kenyataan media malam tadi, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya ambil maklum bahawa Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Faizal telah ditolak oleh UMNO dan Pakatan Harapan. – MG


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram