
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, MIC patut
diharamkan jika ia menghasut rakyat melanggar undang-undang, susulan perobohan
sebuah kuil Hindu di sini dan ketegangan antara parti itu dan kerajaan negeri
pimpinan PAS.
Kelmarin, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di
Taman Bersatu, Kuala Kedah, yang dikatakan berusia lebih 50 tahun. Minggu
lalu, seorang pemimpin MIC mengadu tiada peruntukan dari negeri itu untuk kuil
Hindu dalam belanjawan tahun depan.
“Adakah MIC ditubuhkan sebagai parti politik untuk menghasut orang ramai
melanggar undang-undang? Kalau ya, ia patut diharamkan di negara ini.
“Saya ingin memberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin MIC di Kedah atau di
mana pun, jangan celupar, jangan jadi hero berdasarkan populariti,” kata
Sanusi dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Beliau berkata, tempat ibadat, seperti kuil, hanya boleh dibina selepas
mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Katanya, jika masjid boleh dibina berdasarkan undang-undang dan keputusan
teliti dibuat majlis agama Islam negeri, dengan mengambil kira jumlah penganut
di sekitarnya, penganut agama lain juga perlu mematuhi undang-undang dalam
pembinaan tempat ibadat mereka.
“Kenapa penganut agama lain, saya tak khususkan dekat siapa-siapa, dia boleh
bina rumah ibadat di mana saja dia rasa nak bina? Kalau dibina di tanah
lapang, dia melanggar undang-undang.
“Mereka (MIC) tidak boleh bertindak menjadi pemimpin untuk mencari populariti.
Kalau orang yang hidup dalam politik berdasarkan populariti, ikut saja apa
kehendak orang ramai, melanggar undang-undang atau tidak, orang itu sebenarnya
tak patut jadi pemimpin.
“Pemimpin ialah orang yang boleh membimbing orang ramai,” kata Sanusi merujuk
parti komponen Barisan Nasional itu.
“Saya ingin memberi nasihat kepada MIC bahawa kita terbabit dalam politik ini
melalui sebuah parti. Parti kita ada perlembagaan dan ia diluluskan Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Kalau ada aktiviti parti yang melanggar
undang-undang yang mencetuskan ketidaktenteraman, parti itu tidak patut
diluluskan dan patut diharamkan.”
Hubungan antara PAS dan MIC Kedah menjadi tegang baru-baru ini selepas
Ketuanya di negeri itu, S Ananthan meminta BN “mengkaji semula” kerjasamanya
dengan parti Islam itu.
Ia selepas Ananthan mendakwa tiada peruntukan untuk tempat ibadat bukan Islam
dalam Belanjawan Kedah 2021 yang dibentangkan Sanusi baru-baru ini.
Join our Telegram Channel