
PENGERUSI Kebangsaan DAP Tan Kok Wai mengemukakan permohonan maaf kepada
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berhubung kenyataan fitnah
mengaitkan Ahli Parlimen Ketereh itu dengan penjualan lot tanah milik Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kok Wai yang merupakan Ahli Parlimen Cheras menyerahkan surat permohonan
maaf dan menarik balik kenyataan fitnah secara bersemuka kepada Annuar
sebentar tadi.
“Saya menerima kunjungan mengejut Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai di
pejabat saya sebentar tadi.
“Beliau menyerahkan surat pengakuan memohon maaf dan menarik balik kenyataan
fitnah terhadap saya 18 haribulan November lepas. Terima kaseh. Saya akan
rujuk peguam saya,” kata Annuar ringkas di Twitternya.
Annuar telah menyerahkan notis guaman menuntut Kok Wai menarik balik,
membuat permohonan maaf dan ganti rugi berhubung kenyataan fitnah pada 20
November lalu.
Selain Kok Wai Annuar turut menfaikan saman terhadap portal Malaysiakini dan
ketua pengarangnya, Gan Diong Keng kerana menyiarkan artikel memetik
kenyataan ahli Parlimen DAP itu.
Annuar menyaman Kok Wai dan Malaysiakini masing-masing sebanyak RM10 juta.
Pada 18 November, Malaysiakini menyiarkan artikel bertajuk “MP Cheras dakwa
42 plot tanah DBKL dijual sejak Annuar jadi menteri”, dengan mendakwa 42
plot DBKL terjual dalam tempoh 8 bulan terakhir Annuar berkhidmat sebagai
menteri Wilayah Persekutuan.
Ahli Parlimen Cheras itu mempersoalkan apakah status penjualan
tersebut dan apakah penjualan itu dilakukan mengikut peraturan yang
ditetapkan.
Sebelum itu Annuar telah menafikan tuduhan yang dilemparkan Kok Wai. Annuar
berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah telah menjatuhkan
reputasinya serta DBKL.
Tegasnya sehingga kini, beliau sendiri tidak pernah menerima sebarang
permohonan daripada DBKL untuk menjual aset milik pihak berkuasa tempatan
(PBT) itu.
Pada 19 November, Annuar menafikan tuduhan berkenaan dan menyifatkan dakwaan
itu sebagai fitnah dan tuduhan berat.
“Saya kecewa dan merasa sangat dukacita dengan dakwaan seorang ahli Parlimen
yang sudah begitu lama berperanan sebagai wakil rakyat yang bertindak
menyerang wakil rakyat lain, sedangkan beliau ada peluang untuk berucap
dalam sidang Dewan Rakyat.
“Oleh kerana beliau memilih untuk berucap di luar Parlimen dan tindakan di
luar Parlimen juga tertakluk kepada undang-undang tertentu.
“Jadi saya telah arahkan peguam saya untuk ambil tindakan undang-undang
mengikut jalur dan proses sedia ada,” katanya. – SM
Join our Telegram Channel