Muka senget, Adibah Noor hidap penyakit Bell Palsy



KUALA LUMPUR: Keadaan penyakit Bell Palsy iaitu masalah saraf menyerang bahagian muka sebelah kiri Adibah Noor sejak hampir sebulan lalu sudah beransur pulih, malah penyanyi, pelakon dan pengacara itu masih boleh meneruskan kerja penggambaran iklan serta drama.

Adibah berkongsi keadaan dirinya dan sedang menjalani rawatan fisioterapi selepas disahkan menghidap penyakit Bell Palsy menerusi laman Instagram (IG), baru-baru ini.

Penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu berkata, dia bersyukur penyakitnya beransur sembuh selepas menjalani beberapa siri rawatan fisioterapi sejak sebulan lalu.

“Saya genap sebulan mengalami penyakit Bell Palsy, Sabtu ini. Apa yang saya ingat, awalnya, mata sangat gatal. Esok paginya, apabila gosok gigi dan berkumur, saya perasan air terpancut keluar daripada mulut seperti bocor.


“Saya ingatkan tiada apa-apa, jadi saya pergi ke lokasi penggambaran. Saya dapat merasakan bibir seperti tebal dan apabila bercakap seolah ada slanga tanpa disengajakan. Sebutan huruf S dan P kedengaran tidak betul.

“Saya masih merasakan tiada apa-apa serius, tetapi keesokannya, bibir naik sebelah, manakala sebelah lagi tidak apabila tersenyum. Bagaimanapun, saya tak boleh nak ke hospital kerana doktor pakar cuti pada hujung minggu. Pada hari ketiga iaitu Isnin barulah saya ke hospital.

“Selepas membuat pemeriksaan, doktor pakar mengesahkan saya mengalami penyakit Bell Palsy. Hari itu juga surat ditulis untuk saya ke Jabatan Fisioterapi dan menjalani rawatan,” katanya kepada BH Online.

Menerima sokongan dan doa peminat, Adibah bersyukur, penyakitnya banyak perubahan dan beransur pulih apabila menjalani beberapa sesi rawatan. Dia perlu menjalani 10 sesi rawatan fisioterapi.


“Antara rawatan dilakukan adalah doktor meletakkan botol panas pada muka, stimulasi elektrik, urutan dan laser. Alhamdulillah, sekarang sudah banyak perubahan selepas sebulan menjalani fisioterapi. Antaranya, saya dapat merasakan boleh senyum dengan bibir terangkat. Sebelum ini, senget, tak ubah seperti makhluk asing,” katanya dengan nada bergurau.

Mengulas penyakit memberi kesan pada kerjaya seninya, Adibah berkata, dia terikat dengan penggambaran ketika penyakit berkenaan menyerang.

“Malangnya, saya tengah menjalani penggambaran dan banyak menggunakan reaksi muka. Namun, nasib baik pada hari kedua mengalami sakit ini tidak nampak ketara, walaupun sedikit pelik. Jadi, saya meneruskan kerja dan pelanggan pun tidak perasan sangat.

“Bagaimanapun, wajah saya semakin senget pada hari ketiga, tetapi saya tetap teruskan kerja. Mujur, karakter saya memakai selendang, jadi saya boleh berselindung di sebalik selendang. Saya ada juga berbincang dengan produksi iklan mengenai teknik kamera.


“Sama juga ketika membintangi telefilem, baru-baru ini. Saya membawa karakter wanita jahat. Wajah yang senget ini menampakkan karakter lebih jahat. Jadi, pihak produksi bersetuju. Alhamdulillah, ia tidak menjejaskan kerjaya saya kerana ia boleh diubah suai mengikut keadaan dalam keadaan seperti ini,” katanya.

Adibah berkata, dia tetap meneruskan kerjanya seperti biasa kerana orang ramai kurang perasan dirinya mengalami masalah di wajah, cuma ada kala matanya berair.

“Apabila bercakap atau membuat ekspresi wajah, baru orang boleh perasan. Jadi, saya tetap bekerja kerana ia tidaklah teruk, berbeza dengan pelakon, Faye Kusairi.

“Alhamdulillah, saya mengambil tindakan cepat. Saya tidak menunggu ia teruk baru ke hospital. Ada masanya, kira suka menangguh dan menunggu keadaan teruk baru ke hospital.

“Jadi, disebabkan saya perlu menggunakan wajah untuk kerja, saya kena ambil tindakan pantas,” katanya. – Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram