Sultan Perak setuju pilihan UMNO, Saarani dilantik MB



IPOH: Sultan Perak bersetuju melantik Pengerusi UMNO negeri, Saarani Mohamad, sebagai menteri besar baharu, selepas PPBM dan PAS mengesahkan sokongan mereka kepada calon pilihan UMNO itu petang tadi.

Pengumuman oleh Istana Perak itu mengakhiri krisis politik negeri yang tercetus susulan penyingkiran Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu, menerusi usul percaya yang dibawa oleh UMNO pada Jumaat lepas.

Istiadat mengangkat sumpah akan diadakan esok pada 11 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, menurut jurucakap istana, Ahli Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini.


Selepas selesai menghadap Sultan Nazrin Shah petang tadi, Saarani keluar dari Istana Kinta dengan melontar senyum dan melambai kepada para pemberita yang menanti.

Sidang media pertama beliau selaku menteri besar akan diadakan di Dewan Jubli Kuala Kangsar esok, selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan.

Dengan pelantikan Saarani sebagai MB baharu, persidangan Dewan Negeri Perak akan bersambung seperti yang dijadualkan pada Isnin depan.


Pengumuman Istana Perak hari ini menyusuli keputusan PPBM dan PAS menyokong pencalonan Saarani dalam pertemuan enam mata membabitkan presiden dua parti itu bersama Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi, di Parlimen.

Dalam kenyataan susulan pertemuan itu, Zahid memohon maaf atas “kekhilafan” ADUN Perak yang membawa kepada penyingkiran Faizal.

Penyingkiran itu mengundang respon keras daripada PAS. Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata parti itu tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baharu di Perak. – FMT




ARTIKEL BERKAITAN:

 

Join our Telegram Channel
Telegram