Annuar Musa rela dipecat asal dapat pertahan ‘muafakat’ dalam kerajaan PN



PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Annuar Musa, sanggup dipecat asalkan dapat mempertahankan “muafakat” parti Melayu dan Islam dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga menegaskan akan tetap mempertahankan keputusan MKT menolak DAP dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Kalau nak pecat kerana itu silakan. Nak pertahan mereka yang nak bawa parti sokong DAP dan Anwar silakan,” katanya di Facebook.


Perkembangan ini menyusuli laporan semalam bahawa Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh di Kelantan, Muhammad Saifullah Ali mengusulkan dalam mesyuarat perwakilan bahagian supaya Annuar dipecat daripada parti itu.

Saifullah berkata Annuar dilihat menjadi “tali barut” dan “jurucakap” parti serpihan, PPBM.

Dalam pada itu, Annuar berkata, sepanjang 40 tahun beliau aktif dalam UMNO, mesyuarat perwakilan bahagian selalunya akan membincangkan mengenai orang Melayu, Islam, dan soal rakyat.

Bagaimanapun tahun ini perkara itu tidak berlaku, katanya, dan sebaliknya hanya kedengaran seruan penolakan dan perpecahan sesama Melayu.


“Serang menyerang sesama sendiri, DAP sudah boleh senyum,” katanya.

Sementara itu, Annuar juga mendakwa satu demi satu UMNO bahagian di Kelantan, yang dahulunya menjadi kubu parti itu, bertukar menjadi “kubu parti lawan”.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan parti itu. UMNO Kelantan ketika ini diketuai Ahmad Jazlan Yaakub. Negeri itu dikenali sebagai kubu kuat PAS.

“Semoga di peringkat nasional tidak begitu,” katanya tanpa mengulas lanjut. – Awani
 

Join our Telegram Channel
Telegram