Bayi frontliner meninggal dunia di rumah pengasuh



PUTRAJAYA – Seorang bayi lelaki berusia 4 bulan meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 9, Putrajaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 8.45 malam selepas dihubungi pihak hospital.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati, pengasuh wanita Melayu berusia 48 tahun baru menjaga bayi tersebut sekitar dua minggu.


Katanya, pengasuh memaklumkan bahawa bayi tersebut mengalami demam dan selesema semasa dihantar ke rumahnya.

“Apabila bayi tersebut tidak bangun dari tidur ketika dikejutkan, pengasuhnya terus menghubungi ibu bayi dan pihak hospital.

“Mayat bayi dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat. Manakala, hasil ujian saringan Covid-19 ke atas bayi tersebut adalah negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd. Fadzil berkata, kes diklasifikasikan sebagai Sudden Death Report (SDR) sehingga laporan keputusan bedah siasat diperoleh.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kesan kecederaan ditemui di luar badan mangsa.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – Utusan







Join our Telegram Channel
Telegram