Khairuddin sedia kerjasama dengan Anwar untuk jatuhkan Muhyiddin



CYBERJAYA: Bekas calon Parti Amanah Negara (Amanah) Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, sedia bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menjatuhkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khairuddin berkata, demi mencapai kejayaan matlamat yang sama dia  bersedia untuk duduk semeja bersama Anwar ibrahim ke arah berbincang bagi mencari satu formula secara konsensus agar semua yang diusahakan berada di atas landasan yang sama.

Menurutnya, tindakan semakan kehakiman terhadap perdana menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilakukannya serta Anwar dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Salahuddin Ayub menunjukkan penyatuan serta perpaduan baharu di kalangan rakan-rakan pembangkang.

“Tindakan semakan mahkamah oleh Anwar dan Salahuddin amat disanjungi serta disokongi demi kesejahteraan masa depan sistem demokrasi di negara kita.


“Tindakan mahkamah yang diambil oleh kami juga telah membuktikan bahawa satu penyelarasan telah wujud kerana semakan kehakiman kami tidak bertindih tetapi berdasarkan kepada sudut perundangan yang berbeda yang mempunyai satu kaitan yang kuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di kalangan pihak pembangkang kadang kala mempunyai perbedaan pendapat politik namun demi perjuangan untuk selamatkan kepentingan masa depan negara, mereka boleh bersatu padu secara amat pantas.

“Insya-Allah, pihak kami akan selaraskan semua tindakan-tindakan baharu di masa hadapan atas dasar semangat perpaduan sesama ahli-ahli pembangkang.

“Demi untuk mencapai kejayaan matlamat perjuangan yang sama, saya bersedia untuk duduk semeja bersama Anwar kearah berbincang bagi mencari satu formula secara konsensus agar semua yang diusahakan berada di atas landasan yang sama,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting adalah seorang perdana menteri yang tiada keabsahan serta kerajaan ‘tebuk atap’ PN mesti ditumbangkan secara kadar segera demi untuk selamatkan masa depan bangsa mahupun negara.


“Muhyiddin dan kerajaan ‘tebuk atap’ PN sedang merosakkan negara kita ke tahap yang lebih parah dari hari ke hari.

“Semua pihak jangan takut sesama manusia!! Kita hanya takut pada tuhan!,” katanya.

Khairuddin berkata, satu gerakan secara bersepadu dan sistematik mesti digerakkan secara menyeluruh membabitkan keseluruhan rakyat serta mesti berjalan secara berterusan sehingga mencapai kejayaan bersama bagi menjatuhkan semua kalangan pengkhianat negara dari kerajaan.

“Semangat persefahaman sesama anggota pembangkang sudah mula kelihatan secara amat memberangsangkan kini.

“Dengan izin Allah SWT perdana menteri dan kerajaan ‘tebuk atap’ PN bakal ditumbangkan dalam masa yang terdekat ini,” katanya. – SuaraTV




Join our Telegram Channel
Telegram