TANJUNG MALIM: UMNO Bahagian Tanjung Malim membuat laporan polis berhubung
kain rentang yang mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan
sebagai Presiden UMNO.
Pemangku Ketua Bahagiannya, Mohd Zaidi Aziz menafikan ia dilakukan oleh ahli
UMNO di bahagiannya.
Sebaliknya, beliau menyifatkkannya sebagai satu fitnah yang berlaku dan ia
dilihat berleluasa sekali dalam masyarakat hari ini.
“Bagi saya kain rentang itu adalah alat konvensional namun masih lagi menjadi
penyumbang tersebarnya fitnah dan jelas ini juga propaganda pihak tertentu,”
katanya dalam hantaran di dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Berdasarkan maklumat di dalam Facebook itu, laporan polis dibuat Setiausaha
UMNO Bahagian Tanjung Malim, Sulong Jamil Mohamed Shariff di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Muallim di Slim River pada 9.43 malam tadi.
Menurut laporan itu, Sulong Jamil berkata, kira-kira jam 5.07 petang, beliau
terbaca pesanan ringkas dalam aplikasi WhatsApp di dalam kumpulan Suara
Generasi Felda Besout, sekeping kain rentang yang tergantung di papan tanda
pintu masuk ke Felda Besout.
Katanya, kain rentang berwarna merah dengan tulisan putih itu tertera
perkataan ‘Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi mohon letak jawatan Presiden UMNO’ dan
di bawah tertulis UMNO Bahagian Tanjung Malim beserta logo parti itu.
Sambil menafikan penglibatan UMNO Bahagian Tanjung Malim, Sulong Jamil meminta
pihak polis menjalankan siasatan sehingga tertangkap dalang yang melakukan
perbuatan itu.
Dalam pada itu, Mohd Zaidi berkata, bagi pereka fitnah berkenaan, persaingan
dalam merebut jawatan dan kepentingan politik, kedengkian terhadap kelebihan
orang lain terbit daripada hati yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng
dengan iman yang teguh.
“Saya harap mereka-mereka ini berhentilah. Perbuatan fitnah ini akan
menatijahkan pelbagai kesan buruk dan membawa kerosakan yang amat dahsyat ke
atas masyarakat dan negara,” ujarnya.
Sementara itu, kain rentang yang sama turut dipasang di dua lokasi di Kuala
Kangsar.
Join our Telegram Channel