Puji PPBM, tuduh UMNO derhaka kepada Agong, Annuar melampau – Puad



TUDUH UMNO DERHAKA KEPADA RAJA AMAT MELAMPAU

Annuar Musa tuduh UMNO menderhaka kepada YDP Agong. Tuduhan itu dinyatakan dalam suratnya kepada Setiausaha Agong UMNO. Dia menolak sidang khas Parlimen.

Annuar boleh puji melangit PPBM. Itu hak dia. Tetapi jangan tergamak tuduh parti sendiri menderhaka kepada Raja seperti mana dia pernah buat di Kelantan dulu.

Dia dengan sengaja memviralkan pula suratnya itu. Nampak dia berniat jahat.


Asas dan Tujuan UMNO disebut dengan jelas dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

“UMNO mendukung dan mempertahankan perlembagaan negara, perlembagaan negeri negeri dan Raja Berpelembagaan”. Tiada kompromi mengenainya.

Tujuan ahli Parlimen menulis surat kepada YDP Agong ialah memohon perkenan beginda supaya satu sidang khas Parlimen dipanggil. Maka terpulang kepada budi bicara beginda.

Kenapa itu dikatakan menderhaka? Ia termaktub jelas dalam Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Hanya YDP Agong berkuasa memanggil sidang khas semasa darurat bukan Perdana Menteri.


Sebab itu yang dipersoalkan ialah Gelagat Perdana Menteri. Iaitu gelagat beliau semasa “proses” memberi nasihat kepada YDP Agung. Ketika itu dia tidak ada sokongan majoriti. Apakah dia bercakap benar.

Lagi pun dalam “Warta Ordinan Darurat” yang disiarkan, disebut dengan jelas di bahagian bawah selepas tanda tangan PM “Akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan“.

Ahli Parlimen bertindak mengikut klausa itu.  Perdana Menteri dituduh melakukan “Darurat Politik”. Apa stabiliti yang beliau mahukan melalui darurat dan menggantung Parlimen.

Apakah tempoh 7 bulan sehingga Ogos pelabur asing akan masuk ke Malaysia? Darurat hanya menambah ketidak tentuan. Tiada check and balance. Pelabur tidak akan menunggu 7 bulan lagi untuk datang.


Kenyataan PM bahawa melalui darurat, Pusat Kesihatan swasta boleh dikerah membantu memerangi pandemik COVID-19 juga mengelirukan. Apakah PM tidak percaya  komitmen mereka untuk membantu?

Di damping itu tidak ada yang baru dalam Pakej Ransangan yang diumumkan oleh PM. Inisiatif yang diumumkan kebanyakannya sudah ada dalam bajet 2021.

Moratorium automatik dan PKP pun macam bukan PKP. Orang bebas ke shopping kompleks dan tempat terbuka.

Justeru tidak timbul soal menderhaka kepada YDP Agong. Tetapi Perdana Menteri tidak boleh dibenarkan berbohong dan menjadi semakin autokratik.

– Dr Puad Zarkashi




Join our Telegram Channel
Telegram