Umno buat mesyuarat tergempar selepas Muhyiddin isytihar darurat



KUALA LUMPUR: Biro politik Umno akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini selepas darurat diisytiharkan.

Sumber memberitahu FMT, mesyuarat itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra.

“Tetapi tidak dimaklumkan jam berapa,” katanya.


Pengisytiharan darurat hampir lapan bulan sehingga 1 Ogos ini menyusuli pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan dua minggu sehingga 26 Jan di beberapa negeri ekoran peningkatan kes Covid-19.

Kecemasan itu berlatarkan persoalan mengenai bilangan sebenar sokongan ahli Dewan Rakyat kepada pentadbiran Muhyiddin, selepas beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional menarik balik sokongan dan desakan supaya pilihan raya diadakan.

Darurat ini menyebabkan pilihan raya tidak akan diadakan, dan Dewan Rakyat tidak akan bersidang.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz, menjadi wakil rakyat ketiga Umno yang menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin Yassin, selepas Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub, dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.


Nazri berkata, dengan penarikan balik sokongan ini, kerajaan hari ini hanya ada 109 wakil rakyat menyokong.

Sekurang-kurangnya 112 sokongan daripada 222 Ahli Parlimen diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Dua kerusi kosong susulan kematian penyandangnya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram