Vaksin Covid-19 dijamin halal, bebas unsur babi



PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim memberi jaminan semua vaksin Covid-19 yang dibeli kerajaan adalah halal dan bebas daripada unsur babi, sejajar keputusan Fatwa Muzakarah Fatwa Kebangsaan.

Beliau meminta umat Islam di negara ini supaya tidak bimbang kerana semua vaksin yang dipilih kerajaan tidak mengandungi sebarang sel haiwan langsung.

Realitinya, beliau berkata, kebanyakan vaksin Covid-19 yang ada di dunia sekarang tiada unsur babi.

“Malah vaksin yang menjadi pilihan Malaysia dalam kelompok paling tinggi kadar keberkesanan atau ‘efficacy’ dan paling banyak dipercayai di seluruh dunia berdasarkan lebih 80 juta dos yang telah disuntik kepada penduduk di lebih 57 negara di seluruh dunia dan setiap hari lebih 3.6 juta dos disuntik di merata tempat,” katanya dalam kenyataan.


Bagaimanapun, Amzad mengakui ada peratusan kecil kes terpencil di mana individu mengalami komplikasi selepas menerima suntikan vaksin, tetapi akhirnya ia didapati tiada kaitan dengan kesan vaksin.

Justeru, beliau meminta rakyat jangan terpengaruh dengan laporan mengelirukan media asing sehingga menjadi was-was dan takut menerima suntikan vaksin Covid-19 yang akan diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Beliau turut meminta media supaya berhati-hati dan mengelakkan penggunaan perkataan yang boleh mengelirukan serta menakutkan rakyat dalam pemilihan tajuk berita berkaitan Covid-19 dan vaksin kerana ia boleh menggugat usaha kerajaan menangani penularan pandemik itu.

“Sebagai contoh, berita daripada China mengenai kaedah swab dari dubur. Tajuk dibaca secara sekali imbas terus jadi viral dan ramai yang buat andaian kononnya kaedah itu di Malaysia, sedangkan berita asal dari China itu sendiri menyatakan China tidak bercadang menjadikan ia kaedah piawai.


“Pakar dari Malaysia telah menegaskan kaedah yang digunakan sekarang paling sesuai dan berkesan. Implikasi tajuk sebegini menakutkan orang untuk ke hospital.”

Beliau memberi satu lagi contoh seorang ulama tersohor dari Emiriah Arab Bersatu menjelaskan hukum vaksin yang berkata “Dalam keadaan darurat, vaksin jika sekalipun mengandungi bahan najis seperti babi pun hukumnya dibolehkan”.

“Lalu tajuk berita ditulis ‘Vaksin Covid-19 mengandungi babi hukumnya harus’. Habis jadi bahan percakapan dalam vaksin Covid-19 ada babi, sedangkan yang sebenarnya ulama itu menjelaskan hukum dalam keadaan darurat.”

Malaysia dilaporkan sudah menandatangani perjanjian untuk membeli vaksin Pfizer-BioNTech dari Amerika Syarikat, Sputnik V dari Rusia dan CoronaVac yang dihasilkan Sinovac di China. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram