Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengulas 'serangan' warga maya terhadap
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerusi ruangan komen di akaun Facebook
Istana Negara.
Zahid pada hantaran di media sosial menyertakan pautan laporan Malaysiakini,
berjudul "Warga maya ‘serang’ Muhyiddin di FB Istana Negara."
"Saya membaca laporan portal berita ini dengan teliti. Saya melihat isi
kandungannya sebagai sesuatu yang serius.
"Apa yang berlaku itu manifestasi kegelisahan rakyat berhubung kemerosotan
ekonomi akibat pandemik Covid-19.
"Apa yang boleh saya perkatakan adalah rakyat mahukan sebuah negara yang
stabil politiknya, manakala ekonominya mengukuh. Pelaburan langsung asing
(FDI) yang memberangsangkan untuk memacu kewangan negara dan sektor pekerjaan.
"Apa yang rakyat mahukan adalah kehidupan yang sejahtera dan pekerjaan untuk
menyara diri serta keluarga," katanya.
Menurut Zahid, keadaan negara ketika ini adalah "sebaliknya."
"Orang mengeluh sana sini tentang kehidupan mereka. Hilang kerja dan
sebagainya.
"Ketika berdepan kesukaran hidup, kita berdoa supaya wabak ini tamat segera
dan politik negara dapat diperkukuhkan," katanya lagi.
Dalam satu hantaran yang memuatnaik gambar Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan
Agong semalam bagi sesi perbincangan dan pertukaran pendapat berkenaan urusan
dan isu-isu berkaitan kerajaan, rata-rata warga maya menggunakan platform
media sosial untuk mengadu kesukaran mereka sewaktu pandemik Covid-19 dan
tidak kurang juga yang “menyerang” pentadbiran Muhyiddin.
Tidak terkecuali juga, ada yang meninggalkan komen-komen nakal mengenai jumlah
majoriti yang menyokong pentadbiran Muhyiddin.
Untuk rekod, sebelum ini beberapa pemimpin politik daripada Umno mahupun
pembangkang membangkitkan isu yang sama.
Antaranya Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh pula menggesa kerajaan
terutamanya Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri agar lebih giat memainkan peranan membawa masuk pelaburan asing ke
dalam negara serta merangka pelan untuk memanfaatkan pelaburan untuk rakyat
dan ekonomi negara.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut menuntut Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali menjelaskan tindakan segera
kerajaan bagi menangani kejatuhan terus pelaburan langsung asing (FDI) negara.
Dia turut memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai
Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang diterbitkan 24 Jan, FDI Malaysia
merosot sehingga 68 peratus - jauh teruk berbanding negara negara lain Asean
yang disebut dalam laporan itu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel