BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.
Begitulah nasib pilu pasangan warga emas ini yang terpaksa mencatu makanan
harian mereka.
Dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka berjimat dengan
makan sekali sehari.
Arshad Sukri, 75, dan isteri, Saadiah Kasim, 76, kini tinggal di sebuah rumah
sewa yang uzur di Kampung Sembrong Lapis, Kluang, Johor tidak mempunyai
pendapatan lain.
Menurut Arshad, mereka menjamah makanan sekali sehari bagi mengelakkan bahan
mentah terputus sebelum sampai hujung bulan iaitu tarikh penerimaan bantuan
JKM.
“Kami juga bersyukur kerana pemilik rumah sewa mengizinkan untuk tinggal tanpa
sebarang bayaran, ” katanya selepas menerima sumbangan Yayasan Perbandaran
Kluang (YPK) menerusi program Ziarah Kasih YPK di rumahnya pada Jumaat.
Sumbangan disampaikan Pengurus Eksekutif YPK, Zainani Jamaludin yang turut
dihadiri Penolong Pegawai Tadbir Unit Komunikasi Korporat dan Kemasyarakatan
Majlis Perbandaran Kluang (MPK) serta Ahli Jawatankuasa Penerangan UMNO
Bahagian Kluang, Abdul Rahiman Alwi.
Menurut Arshad, dia masih mampu bekerja ringan tetapi disebabkan keadaan
isterinya yang uzur dan hasrat itu terpaksa dilupakan.
“Kami mempunyai seorang anak perempuan tetapi sudah berkahwin dan tinggal di
tempat lain.
"Sesekali ada juga anak tunggal kami datang membantu namun kami faham dia juga
ada kekangan dan mempunyai keluarga sendiri, ” katanya.
Selain bantuan JKM katanya, pemimpin setempat serta jiran ada memberikan
makanan dan bahan keperluan asas bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.
Menurut Arshad, semua kerja rumah seperti memasak dan mencuci pakaian
dilakukan sendiri selepas keluar ke kedai runcit pada setiap pagi berdekatan
rumah menggunakan basikal bagi mendapatkan bahan mentah.
“Jika semua barang-barang keperluan dapur lengkap, saya hanya tinggal di rumah
menemani isteri sambil melakukan kerja rumah, ” ujarnya.
Sementara itu, Zainani berkata, pihaknya mengetahui berkenaan pasangan itu
selepas dimaklumkan penduduk kampung sebelum datang sendiri melihat keadaan
warga emas terbabit.
Join our Telegram Channel